
KUALA LUMPUR: Jumlah eksport halal yang telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024 berjumlah RM39.81 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Menurutnya, sebahagian besar daripada nilai tersebut disumbangkan oleh sektor makanan dan minuman (55.2 peratus), diikuti dengan bahan ramuan halal sebanyak (31.5 peratus), kosmetik dan penjagaan diri (6.7 peratus), derivatif minyak sawit sebanyak (3.2 peratus), industri kimia sebanyak (1.9 peratus) dan farmaseutikal sebanyak (1.5 peratus).
“Jumlah ini meningkat sebanyak 10.14 peratus daripada tahun 2023 yang mencatat jumlah eksport sebanyak RM34.76 bilion bagi tempoh yang sama,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar [PN-Kemaman] di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr. Ahmad Samsuri dalam soalannya meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan usaha dan kerjasama yang telah dibuat oleh Kerajaan untuk memperluas industri halal dalam kalangan negara ASEAN memandangkan industri ini kini dianggarkan bernilai sehingga USD2 trilion di peringkat antarabangsa.
Tambah menteri itu lagi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjalankan pelbagai usaha dalam mempromosikan produk-produk halal Malaysia ke negara luar.
Katanya, antaranya adalah penyediaan platform dan aktiviti kempen perniagaan melalui acara-acara utama bagi mempromosi jenama serta barangan Halal Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Program ini turut melibatkan acara pameran dagangan yang dilaksanakan secara bersasar bagi membantu penyertaan syarikat-syarikat tempatan yang berdaya eksport,” katanya.
Katanya, pemain industri halal negara juga diperkenalkan kepada rakan-rakan perdagangan luar negara melalui penganjuran expo perdagangan seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).
“Untuk makluman, MIHAS kali ke-20 yang telah diadakan pada bulan September 2024, merekodkan jualan produk halal yang mencecah RM4.3 billion iaitu 34 peratus lebih tinggi daripada sasaran.
“Pameran halal terbesar dunia ini telah memadankan 800 syarikat tempatan dengan 330 pembeli antarabangsa dari 45 buah negara,” jelasnya.
Tambahnya, usaha mempertingkatkan eksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke negara luar akan diteruskan lagi melalui Program Malaysia Global Halal Show yang menawarkan khidmat bimbingan kepada syarikat untuk menembusi akses pasaran antarabangsa.
Ujarnya, sebanyak 15 buah syarikat dari sektor makanan dan minuman serta bahan ramuan halal telah menyertai Food and Hospitality Indonesia (FHI) 2024 bertempat di Jakarta, Indonesia berlangsung pada 23 hingga 26 Julai 2024.
Pada masa yang sama, katanya pemain industri boleh mengoptimakan pelbagai perjanjian perdagangan bebas yang disertai oleh Malaysia seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Kerjasama Komprehensif ASEAN-Jepun.
“Perjanjian-perjanjian bebas ini memberikan akses kepada pasaran antarabangsa dengan duti yang rendah,” katanya.
Di samping itu, jelasnya beberapa usaha melibatkan kerjasama antara negara ASEAN sedang dilaksanakan bagi tujuan mempromosi produk- produk dan perkhidmatan berkaitan halal.
Kerajaan juga, katanya memantau perkembangan industri halal dalam negara dalam usaha untuk meningkatkan eksport negara.
Tambahnya, salah satu usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan adalah mempercepatkan pengeluaran sijil halal dan membangunkan industri-industri tempatan yang berasaskan produk halal supaya lebih kompetitif dan berdaya tahan.
“Langkah-langkah ini dijangka mempertingkatkan pengeluaran dan eksport halal seperti yang disasarkan dalam Halal Industry Master Plan (HIMP) 2030.
“Pelbagai usaha juga dijalankan dengan memberi tumpuan kepada penyertaan aktif syarikat Bumiputera serta mempergiatkan pengkomersilan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024











