Kematian pakar patologi: Tiada tindakan diambil terhadap isu buli?

Dato' Dr. Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat dakwaan serius mengenai isu buli dan jenayah seksual yang melibatkan Ketua Jabatan Ortopedik di salah sebuah hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, difahamkan, pegawai bawahan turut terlibat dalam insiden itu dan laporan mengenai kejadian tersebut telah dibuat kepada pihak polis, Unit Integriti KKM, dan Menteri Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes serupa juga dilaporkan di Semenanjung melibatkan Ketua Jabatan Patologi dan beberapa pakar patologi, namun tindakan yang diambil masih tidak jelas walaupun laporan dibuat sejak empat bulan lalu.

- Advertisement -

Jelasnya, terdapat kebimbangan mengenai kejadian melibatkan pakar patologi di Lahad Datu, di mana laporan telah dihantar empat bulan lalu, namun tiada tindakan jelas diambil.

Situasi itu katanya menimbulkan persoalan mengenai langkah susulan yang diambil oleh pihak berwajib.

“Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. Apakah sebenarnya yang berlaku, kerana kita juga melihat jawatankuasa bebas yang dibentuk hanya selepas kematian mendiang pakar patologi di Lahad Datu. Mohon penjelasan,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan soalan tambahan itu pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam jawapannya berkata, selepas tragedi di Lahad Datu, KKM segera menubuhkan siasatan dalaman, diikuti dengan pembentukan jawatankuasa bebas yang dipimpin oleh mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah.

Beliau menegaskan bahawa kementerian tidak lewat dalam bertindak, malah telah menjalankan siasatan dalaman sejurus selepas kejadian berlaku.

Beliau juga memaklumkan mengenai satu lagi kes di Hospital Seberang Jaya yang akan disiasat, dengan penekanan terhadap usaha memastikan budaya kerja yang adil dan harmoni di KKM.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan mengenai tindakan yang telah dibuat oleh pihak Kementerian susulan kematian seorang pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu yang dilaporkan telah dibuli di tempat kerja dan apakah langkah yang dirancang untuk mengelakkan kejadian buli daripada berulang dalam kalangan doktor. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -