Imam alami strok ringan ketika mengimami solat

- Advertisement -

KUANTAN: Abdul Hadi Sulaiman diserang strok ringan baru-baru ini menyebabkan beliau mengalami masalah untuk bercakap.

Beliau yang mesra dengan panggilan Imam Hadi merupakan imam di Surau Pok Long Ghani, Chengal Lempong, mula mengalami masalah tersebut ketika mengimamkan solat.

“Jemaah memaklumkan sukar untuk mendengar bacaannya ketika itu,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu menerusi satu hantaran di laman sosialnya.

- Advertisement -

Beliau yang menziarahi susulan mendapat perkhabaran mengenai masalah kesihatan dihadapi Abdul Hadi menyatakan sehari dua sebelum itu imam tersebut sudah merasakan sesuatu simptom di bahagian pipi. (Foto atas)

“Alhamdulillah, beliau nampak sedang beransur pulih dan sudah boleh bercakap walaupun perlahan,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Andansura juga turut menyantuni bilal Masjid Kariah Balok, Hasan Ali yang sering mengalami pening-pening dan tidak boleh berdiri dengan stabil.

Katanya, simptom yang dialami beliau mungkin berkaitan dengan penyakit vertigo yang menjejaskan keseimbangan badan.

Menurutnya lagi, Hasan yang mesra dengan panggilan Pak Ngah Hasan masih tidak mampu ke masjid buat masa ini.

“Terima kasih sahabat-sahabat PAS Cawangan Chengal Lempong yang bersama-sama saya dalam sesi ziarah ringkas.

“Sama-sama kita doakan kebaikan dan kesembuhan untuk kedua-dua mereka yang telah lama berbakti menghidupkan rumah Allah. Semoga Allah merahmati kita semua,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -