Kewarganegaraan: Malaysia perlu bersifat eksklusif, bukan inklusif

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kewarganegaraan di Malaysia perlu diperketatkan bagi memelihara identiti negara, menurut Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut).

Katanya, kewarganegaraan seharusnya bersifat eksklusif dan bukan inklusif, agar rakyat dapat bangga mengaku sebagai anak Malaysia.

Justeru itu, beliau mencadangkan beberapa langkah untuk memperbaiki syarat-syarat kewarganegaraan, termasuk mengadakan ujian tertentu yang lebih spesifik dan berat.

“Adakan ujian bagi menguji kesetiaan dan ketaatan mereka yang memohon kewarganegaraan selepas bermastautin tetap di negara ini, bukan sekadar penguasaan bahasa Melayu,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau turut menyarankan agar mereka yang dianugerahkan kewarganegaraan melalui pindaan itu diwajibkan menyertai program PLKN 3.0, dengan modul yang sesuai di bawah seliaan Kementerian Pertahanan.

Katanya lagi, perkhidmatan yang sedia ada dalam memproses permohonan kewarganegaraan juga perlu ditingkatkan.

Beliau turut menyentuh mengenai Pindaan Jadual Kedua berkaitan dengan kelahiran kanak-kanak dalam Persekutuan, khususnya bagi ibu bapa yang hanya mempunyai status pemastautin tetap.

Menurutnya, pindaan itu mungkin menimbulkan tentangan, khususnya berkaitan dengan isu kanak-kanak tanpa kerakyatan yang mungkin menghadapi kesukaran dalam kehidupan.

“Apakah jaminan kerajaan agar kebajikan mereka yang tergolong dalam kategori ini terpelihara sebaiknya terutamanya dari sudut keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan,” soalnya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -