Jumlah pelaburan di Kelantan lepasi sasaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah pelaburan di Kelantan melepasi sasaran ditetapkan sehingga September tahun ini iaitu sebanyak RM153 juta yang dikendalikan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, nilai pelaburan tersebut berkisar sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan melebihi sasaran sebenar iaitu RM100 juta.

Katanya, dengan peningkatan itu, secara tidak langsung akan membuka 879 peluang pekerjaan dan 69 keusahawanan dalam semua sektor tersebut.

“Kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya pada kenyataan di sini semalam.

- Advertisement -

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICC ECER) Negeri Kelantan Bil 2/2024 di Pejabat ICC ECER Putrajaya.

Menurutnya juga pada mesyuarat tersebut Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membentangkan perancangan  pembangunan Wilayah Pantai Timur dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang memfokuskan empat teras utama iaitu bakul makanan, mencipta destinasi, sektor pembuatan dan industri marin.

Pada masa yang sama pimpinan kerajaan negeri turut diberi taklimat tentang beberapa projek termasuk Taman perindustrian Tok Bali yang dijangka menarik pelaburan swasta sebanyak RM400 juta menjelang November 2026.

“Perkembangan ini sekaligus memacu pembangunan ekonomi rantau ini. Selain itu, projek Jambatan Palekbang serta Zon Pelancongan Bersepadu Geting (GITZ) Tumpat yang mempunyai potensi sebagai destinasi pelancongan utama turut dibentangkan,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan memberi kerjasama bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di negeri itu berjalan lancar.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Nazwan Ismail. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -