Bila nak ambil veteran ATM sertai MCBA?

Dato' Khlir Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) meminta penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tentang kemungkinan veteran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diterima bekerja dalam Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan (MCBA).

“Bila agak-agak nak ambil veteran kita untuk bekerja dengan AKPS (MCBA)? Yang dah bersara, yang muda-muda lagi sekarang ni ramai,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan sewaktu sesi ‘Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Khlir dalam soalan asalnya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini bagi pengoperasian MCBA dan bilakah dijangka ianya dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang bertujuan menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) diluluskan persidangan Dewan Rakyat, diluluskan pada Julai lepas di Dewan Rakyat.

Agensi itu akan mengambil alih fungsi agensi berkaitan di pintu masuk negara seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Saifuddin dalam jawapannya berkata bahawa beliau terbuka dengan cadangan tersebut namun beliau meminta semua pihak memahami bahawa kerajaan mempunyai kekangan dari segi mewujudkan perjawatan baru.

“Kerana Yang Berhormat membangkit perkara yang sangat spesifik, apakah ada ruang untuk bekas tentera terutama yang punya kepakaran? Dia mungkin dulu bahagian IT; dia mungkin dulu bahagian kawalan sempadan; dia ada manfaatnya ruang.

“Saya terbuka dari sudut bukan saja pejawatan tetap tapi juga perjawatan kontrak misalnya. Jadi itu saya akan serahkan kepada proses pengambilan mengikut perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang baik dan mempunyai ruang untuk diberikan pertimbangan. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -