
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa berusaha untuk memberikan bantuan atau geran kepada syarikat-syarikat perladangan kecil dan sederhana, selain daripada bantuan yang diberikan kepada pekebun-pekebun kecil.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, kebanyakan syarikat itu menanggung kos yang tinggi kerana memiliki banyak pokok tua yang hasilnya kurang.
“Dan juga apakah usaha untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti sawit kepada mereka selepas program tanaman semula?
“Adakah ada kursus-kursus khusus kepada latihan dan sebagainya kepada pekebun-pekebun sawit ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menggalakkan penanaman semula tidak hanya kepada pekebun kecil, tetapi juga kepada pekebun yang tidak berada dalam kategori tersebut.
Menurutnya, beberapa insentif diberikan seperti elaun pelaburan dan galakan untuk bekerjasama dengan estet kecil.
Jelasnya, pekebun yang memiliki benih berkualiti tinggi disarankan untuk berkongsi dengan pekebun kecil sebelum mengeksportnya.
Beliau berkata, MPOB juga memberikan nasihat mengenai amalan pertanian terbaik dan bahan penanaman berkualiti untuk memastikan hasil ladang kelapa sawit terjaga.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Mohd Isam Mohd Isa (PH-Tampin) yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan jumlah pekebun kecil yang telah memanfaatkan Program Tanam Semula Sawit setakat ini dan adakah Kementerian mempunyai sebarang perancangan untuk memanjangkan inisiatif tersebut terhadap para pekebun kecil getah yang ingin beralih kepada tanaman komoditi sawit. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











