
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital diminta untuk menjelaskan faedah yang diperolehi oleh golongan wanita dengan pewujudan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO).
Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, kepakaran tenaga kerja, regulasi dan juga keselamatan serta kesedaran dan penerimaan penggunaan teknologi baru seringkali menjadi cabaran utama terutama sekali kepada wanita di Malaysia.
“Bagaimanakah dengan wujudnya Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) itu boleh berperanan dalam memastikan agar wanita Malaysia dilibatkan dan juga diperkasakan.
“Selari dengan perkembangan teknologi AI dalam negara, sama ada dari segi peluang ataupun kesedaran tentang kebolehan dan juga ancaman AI,” katanya.
Jelasnya, sesuatu yang telah diketahui umum bahawa AI itu boleh membahayakan berjuta orang melalui kawalan dan juga manipulasi kepada orang ramai.
Beliau yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia berkata demikian sewaktu mengajukan soalan sewaktu sesi ‘Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Mas Ermieyati dalam soalan asalnya meminta Menteri Digital untuk menyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian dalam menghadapi cabaran etika, peraturan dan perundangan yang berkaitan dengan teknologi baharu muncul seperti AI, Blockchain, Cloud computing dan Quantum technology.
Timbalan Menteri, Datuk Wilson Ugak Kumbong dalam jawapannya berkata, penglibatan wanita dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia semakin meningkatkan di mana kerajaan telah mewujudkan beberapa inisiatif dan program bertujuan untuk memperkasakan mereka.
“Kita ada program tu daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu Women in Tech Malaysia, bekerjasama dengan MDEC untuk meningkatkan penyertaan wanita kita dalam pendidikan teknologi,” katanya.
Selain itu, katanya, program ‘AI Untuk Rakyat’ pula adalah satu program dalam talian yang akan melibatkan lebih 1.3 juta rakyat Malaysia dalam tempoh sembilan bulan dengan 52 peratus daripada satu pertiga juta itu data adalah wanita. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











