
KOTA BHARU: Tindakan adik Presiden Umno, Datuk Abdul Hakim Hamidi menyertai PAS dianggap sebagai usaha menjulang semula perjuangan bapa mereka Hamidi Abdul Fatah, bekas aktivis PAS di Bagan Datuk.
Pensyarah Psikososio sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, bapa mereka seorang guru agama di Maahad Ulum Bagan Datuk dan istiqamah berdakwah dan memberi khidmat bakti kepada masyarakat.
Katanya, bapa Dato’ Seri Ahmad Zahid ketika bersama PAS terlibat aktif dalam aktiviti usrah dan Pemuda PAS di Bagan Datuk.
“Tambah menarik apabila Abdul Hakim menganggap hanya PAS yang mampu mempertahankan hak Melayu dan kedaulatan Islam,” katanya di sini.
Berita Abdul Hakim menyertai PAS dimuat naik di laman sosial Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki.
Dr Zulkeflee juga berkata, pendedahan Abdul Hakim mengenai kelemahan Umno tidak bolehkan diremehkan lagi.
Malah, ia selaras dengan pandangan Tun Abdul Razak pada 1973 yang membayangkan sekiranya Umno bermasalah, PAS akan menjadi wadah orang Melayu di negara ini.
Menurutnya juga Umno semakin hilang kelantangan apabila membisu ketika ada orang bukan Melayu mempersendakan bahasa kebangsaan.
“Sedangkan fasal 152 perlembagaan menjelaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Namun hari ini bahasa Melayu dipermainkan seperti berlaku di Selangor apabila ada pihak menjulang tulisan Cina.
“Umat Melayu mesti sedar apa yang berlaku sekarang menggambarkan golongan minoriti semakin berani mencabar hak-hak orang Melayu yang dijamin dalam perlembagaan,” ujarnya.
Oleh itu kata beliau penyatuan umat Melayu perlu digerakkan bagi mengembalikan semula kegemilangan peradaban Melayu dan Islam di negara kita. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











