
KUALA LUMPUR: Strategi untuk melahirkan tenaga bakat mahir perlu dibuat oleh kerajaan, termasuk menangani isu ‘brain-drain’ yang melibatkan migrasi jurutera tempatan ke Singapura akibat tangga gaji yang rendah.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, menurut sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, TalentCorp, bahawa lebih daripada 1.86 juta rakyat Malaysia telah bermigrasi ke luar negara, dengan sebahagian besarnya menuju ke Singapura.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah dalam isu itu, termasuk merancang pelan untuk kira-kira 600,000 pekerja.
Menurutnya, pekerja tersebut dikenal pasti memerlukan pemahiran semula atau ‘reskill’ dan ‘upskill’ dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang ekoran daripada perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
“Kita tengok digitalisasi dan juga ekonomi hijau. Jadi apakah tindakan-tindakan kerajaan untuk kita nak membendung gejala ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, berkata, kerajaan menganggap penting untuk melaksanakan ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ bagi memenuhi keperluan pekerjaan.
Beliau berkata, pelaburan dalam industri bernilai tinggi perlu dibuat untuk meningkatkan ekonomi dan memenuhi permintaan tenaga kerja dan negara lain juga perlu terlibat dalam ekosistem pekerjaan itu.
Jelasnya, jika kos kehidupan di Singapura terus meningkat, pekerja Malaysia mungkin akan beralih untuk kembali ke Malaysia bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih sesuai.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah (PH-Paya Besar) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana Kerajaan merancang untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi bagi menyerap peningkatan bilangan individu berkelulusan tinggi yang memasuki pasaran pekerjaan dan memastikan peluang pekerjaan yang mapan untuk generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 15/10/2024











