
KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan keberhasilan pekerja, kata Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).
Mohd Syahir membangkitkan bahawa terdapat syarikat yang masih memandang label dan kapital insentif dalam aspek penyeragaman gaji antara sektor dan wilayah.
“Namun, terdapat gaji di Semenanjung tidak sama, gaji di Sabah dan Sarawak juga tidak sama, gaji dan kelayakan tidak setimpal dan itulah realiti label pemasaran dalam negara.
“Jadi apakah bentuk mekanisme di pihak kerajaan untuk mewujudkan satu penyeragaman dan keseimbangan supaya tidak timbul masalah herotan gaji yang saya rujuk kepada dokumen dasar gaji progresif ini.
“Hal demikian supaya tidak timbul masalah gaji yang senget dan tak seimbang, serta jurang perbezaan yang besar di antara sektor wilayah dalam ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau dan anak muda sentiasa mengikuti segala dasar dan pengumuman di pihak kerajaan untuk meningkatkan gaji dan produktiviti pekerja yang merupakan tonggak utama dalam pembangunan ekonomi negara.
Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyatakan sejauh mana kadar penyertaan syarikat dalam projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga Oktober 2024.
Selain itu, beliau turut meminta kriteria pemilihan syarikat berkenaan dan strategi kementerian bagi memastikan kemampanan DGP selepas tamat tempoh setahun projek rintis.
Timbalan KSM, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata kementeriannya telah berbincang di peringkat Kabinet dan ketersediaan itu telah pun tersedia. – HARAKAHDAILY 15/10/2024











