IJN naikkan caj, apa peranan kerajaan?

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Institut Jantung Negara (IJN) yang menaikkan kadar fi bagi mendapatkan rawatan baru-baru ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, tindakan itu telah menyebabkan berlaku peningkatan kos terhadap mereka yang mahu mendapatkan rawatan di situ.

“Saya nak bangkitkan juga persoalan yang berkaitan dengan apa yang ditimbulkan kebimbangan baru-baru ini apabila IJN mengumumkan kadar kenaikan fi antara 10 hingga 40 peratus terhadap pesakit yang dirawat di IJN dengan alasan inflasi dan peningkatan kos penjagaan kesihatan,” katanya.

- Advertisement -

Menurut beliau, timbul persoalan mengapa kenaikan itu diperlukan sedangkan IJN Holding Sdn Bhd adalah sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

“Sepatutnya (Kementerian Kewangan) menyediakan peruntukan dan subsidi yang lebih banyak dan juga lebih mencukupi untuk mengekalkan harga rawatan yang berpatutan supaya ianya tidak membebankan rakyat,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara ini ketika mengambil bahagian dalam perbahasan bagi Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, dalam perbahasan yang sama, Marzuk turut mencadangkan agak kerajaan memperkasakan aplikasi MySejahtera sebagai ‘super apps kesihatan’ yang bermanfaat buat rakyat.

“Pembangunan apps MySejahtera adalah bertujuan untuk menangani wabak Covid-19 dan sekiranya dimanfaatkan sebaiknya MySejahtera akan menjadi platform kesihatan yang komprehensif.

“Antara cadangan peningkatan MySejahtera adalah menjadikannya sebagai aplikasi untuk menyimpan rekod perubatan individu; mengatur temu janji dengan klinik atau hospital yang lebih efisien; serta memantau kesihatan secara digital,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, bagi mengoptimumkan penggunaan MySejahtera dari seluruh Malaysia kerajaan perlu mengatasi beberapa cabaran termasuk menyediakan capaian internet yang lebih lebih efisien.

Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 15 Julai lepas.

Rang undang-undang yang mengandungi 14 Fasal itu antaranya bagi memastikan setiap pengamal perubatan yang mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki wujudnya apa-apa penyakit berjangkit, memberikan notis dalam apa sahaja cara, sepertimana ditentukan Ketua Pengarah.

Pindaan juga bertujuan memasukkan seksyen baharu 14A ke dalam Akta 342 untuk membolehkan seseorang pegawai diberi kuasa memerintahkan mana-mana orang yang dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit menjalani pengasingan atau pengawasan. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -