
KUALA LUMPUR: Suatu langkah perlu diambil untuk mempergiatkan program pemulihan semula hutan simpan.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, ia terutama yang melibatkan kawasan hutan simpan yang sebelum ini dijadikan kebun sayur secara haram selepas operasi pengurusan bersepadu dijalankan.
Menurutnya, beliau telah meneliti apa yang disebut oleh Menteri berkaitan dengan insentif kewangan EFT (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation) negeri-negeri.
“Saya ingin bertanya sejauh manakah komitmen suntikan dana daripada sektor awam dan swasta. Melalui kerjasama FRIM (Institut Penyelidikan Hutan Malaysia), kita berhasrat untuk merancakkan inisiatif pemulihan hutan simpan serta program-program meningkatkan kesedaran.
“Adakah kerajaan bercadang untuk menambah baik instrumen sijil konservasi hutan FCC (Forest Conservation Certificate) yang dilancarkan sejak Mei lalu bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat korporat dalam membiayai dan menyumbang ke arah usaha konservasi dan pengurusan hutan?” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan kini melihat minat mendalam untuk mencari sumber daripada sektor awam dan swasta dalam usaha memelihara hutan.
Menurutnya, melalui Malaysia Forest Fund, inisiatif seperti FCC dan FCO (Forest Carbon Offset) sedang dibangunkan untuk menyokong penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam pemuliharaan hutan.
Walau bagaimanapun katanya, pelaksanaan inisiatif itu memerlukan masa dan perhatian untuk mengelakkan kebimbangan terhadap ‘greenwashing’ dan memastikan bahawa ia bukan sekadar pendekatan perhubungan awam.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam menyatakan apakah komitmen Kementerian dalam mengimbangi pelbagai keperluan untuk pembangunan di samping memelihara kawasan hutan simpan di Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/10/2024











