Kenapa kurangkan soalan lisan MP pembangkang?

'Berita buruk' Sidang Dewan Rakyat

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Tindakan kerajaan mengurangkan jumlah soalan lisan yang dibenarkan untuk dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pembangkang pada Sidang Dewan Rakyat bakal bermula minggu hadapan adalah sesuatu ketidakadilan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, ia adalah kerana Ahli Parlimen Kerajaan mempunyai akses yang lebih untuk bertemu sendiri dengan Menteri atau Timbalan Menteri jika timbul sebarang masalah.

“Yang agak menyedihkan apabila pada petang ini saya menerima berita yang menyatakan bahawa soalan lisan yang selama ini setiap hari ada 10 soalan, lima daripada Ahli Parlimen kerajaan dan lima daripada Ahli Parlimen  pembangkang.

“Yang mana pada kali ini, persidangan kali ini, enam soalan lisan datangnya daripada Ahli Parlimen kerajaan dan empat soalan lisan datangnya daripada Ahli Parlimen pembangkang

“Ini apa semua ni? Apa semua ni? Bukankah kamu dah kerajaan dan Ahli-ahli Parlimen kamu mudah berjumpa dengan Menteri, Timbalan Menteri. Mudah saja. Apa masalah kalian ni? Kenapa nak tarik kami lagi satu?” soalnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dilaman _Facebook_ beliau malam tadi.

“Jadi saya nak bagi tahu kepada kerajaan, yang kamu takut sangat kenapa? Jawab saja soalan kami ni. Apa masalah? Kenapa pula hendak menjadikan enam soalan daripada Ahli Parlimen kerajaan, empat soalan daripada Ahli Parlimen pembangkang?”soalnya.

Tegas beliau, kerajaan harus mengekalkan nisbah soalan Ahli Parlimen Kerajaan berbanding Ahli Parlimen Pembangkang kekal seperti bilangan asal sebelum ini.

“Kami bawa suara rakyat, kalian pun bawa suara rakyat. Tetapi kalian ini beruntung kerana menjadi kerajaan. Boleh bertemu dengan Menteri, boleh bertemu dengan Timbalan Menteri. Kami ni payah.

“Jadi apa yang susah sangat? Sepatutnya enam tu bagi pada kami, empat bagi kepada kamu. Barulah betul,” ujar beliau.

Beliau turut membangkitkan situasi enam orang Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang telah menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi masih dianggap sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Hasnizan mempertikaikan bahawa berdasarkan persidangan sebelum ini, soalan yang mereka ajukan dikira sebagai soalan Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyebabkan peluang mereka untuk mengemukakan soalan jadi berkurangan.

“Inilah masalah yang kami hadapi. Inilah peluang dan masa untuk kami menyuarakan suara rakyat dan bukan mudah peluang ini untuk kami dapat. Saya pada sesi yang sebelum ini satu soalan pun tak lepas.

“Untuk sesi soalan lisan ini. Dan kali ini saya melihat saya ada dua soalan yang lepas tetapi bila diubah seperti ini kemungkinan besar saya pun tidak akan dapat lagi soalan lisan seperti ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kekesalan terhadap pengarahan tersebut yang menjadi satu berita buruk di saat persidangan sesi berikutnya belum pun bermula.

Beliau dalam kenyataannya itu meminta agar rakyat mendoakan agar Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional diberikan kekuatan untuk mempertahankan perdebatan mereka demi hak rakyat. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

- Advertisement -