Arwah Tok Guru rintis perkenal Mandarin di KIAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Wakil rakyat menyambut baik usaha Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menganjur kursus bahasa Mandarin selama empat bulan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

- Advertisement -

ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, kelas berkenaan merupakan usaha bagi menambahkan ilmu pengetahuan dan penguasaan bahasa dalam kalangan wakil-wakil rakyat.

“Usaha seperti itu pernah dirintis almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada awal tahun 1990-an apabila memperkenalkan kursus bahasa Mandarin di Maahad Dakwah Wal Imamam (sekarang KIAS).

“Ketika itu dua pelajar melanjutkan pengajian di China dan seorang dari mereka sekarang bertugas sebagai pensyarah di KIAS,” ujarnya di sini.

Baru-baru ini Timbalan Exco Pendidikan, Kamaruzaman Mohamad merasmikan kursus tersebut yang diadakan di Pusat Bahasa KIAS, yang turut dihadiri sebahagian besar ahli BBC.

Adanan yang juga bekas pendidik berkata, apabila wakil rakyat boleh menguasai bahasa Mandarin lebih memudahkan lagi untuk berinteraksi dengan masyarakat Cina.

“Wakil rakyat sewajarnya mengikuti peluang ini kerana menguasai pelbagai bahasa memberi kelebihan kepada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -