
KANGAR: Sebanyak 35 tan metrik sisa plastik dilupuskan setiap hari di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Rimba Mas, Padang Besar menurut kajian komposisi sisa oleh Umpan Jaya Sdn Bhd.
Kajian tersebut mendedahkan, sisa plastik yang tinggi ini memerlukan usaha pengurangan agar tidak berakhir di tapak pelupusan, kerana plastik mengambil masa antara 500 hingga 1000 tahun untuk reput sepenuhnya.
Statistik global juga menunjukkan, sebanyak 1 juta botol plastik dibeli setiap minit di seluruh dunia, dengan 1,500 unit dibuang setiap saat, membawa kepada ancaman alam sekitar yang semakin kritikal.
Pengarah Umpan Jaya Sdn Bhd, Jaafar Sadeq Datuk Mohd Noordin berkata demikian semasa majlis pelancaran Projek Pembinaan Arca ‘Sang Kerapu’ di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, baru-baru ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena World Clean Up Day 2024.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Nor Azman Talib, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian.
Arca ‘Sang Kerapu’ ini direka untuk menampung 6,500 botol plastik Polyethylene Terephthalate (PET) dengan kapasiti berat sehingga 325 kilogram.
Konsep arca ini simbolik kepada pemangsa laut yang ‘menelan’ plastik dalam jumlah sangat banyak, sesuai dengan saiz besar arca tersebut.
Projek arca ini adalah hasil cetusan idea Raja Muda Perlis untuk menggalakkan kitar semula dalam kalangan masyarakat setempat.
SWCorp Perlis bekerjasama dengan Umpan Jaya serta Kolej Vokasional Kangar bagi merealisasikan pembinaan arca ini, dengan matlamat mempromosikan kempen penjagaan alam sekitar dan penglibatan komuniti dalam aktiviti kitar semula.
Syarikat Umpan Jaya yang berteraskan perkhidmatan kejuruteraan alam sekitar diberi tanggungjawab oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk mengurus dan menyelenggara TPS di Rimba Mas, Padang Besar.
Pada program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada beberapa rumah asnaf terpilih sekitar Kuala Perlis, menerusi Program Berbasikal Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) Peduli. – HARAKAHDAILY 10/10/2024












