
KULIM-BANDAR BAHARU: PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu telah menembusi bekas kubu kuat Umno apabila berjaya menubuhkan Cawangan PAS yang baharu di Selarong Panjang, di sini.
Kejayaan itu berikutan 55 ahli Umno termasuk anak-anak muda bertindak keluar parti dan menyertai PAS.
Ketua Penerangan PAS Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairi Mohd Salleh berkata, kebanyakan mereka muak dengan Umno yang kini sudah lari dari landasan perjuangan apabila berpakat dengan DAP.
“Penubuhan Cawangan ini akan menguatkan PAS Kawasan ini dan dapat membantu pertahankan kemenangan Perikatan Nasional (PN) Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Mereka yang menyertai PAS itu pun, juga merupakan pengundi PN pada PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu serta tertarik dengan perjuangan ini kerana meletakkan asas agama di tempat utama,” katanya kepada Harakahdaily, di sini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu, Ts Dr Mohd Suffian Yusof pada ucapannya berkata, Selarong Panjang merupakan Cawangan PAS ke-42 di kawasan itu.
“Kita menyasarkan 10 lagi cawangan PAS menjelang 2025 dan kini telahpun giat berkempen untuk bersama-sama menghijaukan bumi Kedah dengan menubuhkan cawangan-cawangan baharu,” katanya.
Tegas ADUN Bandar Baharu itu lagi, PAS yang telah menjangkau usia ke 73 tahun perlu terus diperkukuhkan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran di hadapan.
Pada majlis yang diadakan di Kampung Padang Patung, Selarong Panjang kelmarin itu, Dr Suffian telah menyerahkan 40 sijil ahli baharu PAS kepada Ketua Penaja PAS Cawangan Selarong Panjang, Md Zuki Salleh.
Sementara 15 borang keahlian PAS turut diterima pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu juga diadakan pelancaran kempen melanggan Harakah dan Harakahdaily Premium serta kempen sertai SkimPAS.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu, Ustaz Iskandar Shah Ibrahim. – HARAKAHDAILY 10/10/2024












