PAS Melaka akan turun ke Himpunan Taufan Al-Aqsa

- Advertisement -

AYER KEROH: Semua ahli dan penyokong PAS Melaka diseru untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Taufan Al Aqsa yang akan diadakan Sabtu ini di Ibu Negara.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, ia sebagai solidariti kepada rakyat Palestin dan Lubnan yang kini sedang menghadapi serangan ganas negara haram Israel-Zionis.

“Sebagai tanda solidariti dan kebertanggungjawaban, PAS Melaka mengerahkan seluruh ahli-ahli dan penyokong-penyokong di negeri ini untuk sama-sama membacakan Qunut Nazilah di sepanjang doa yang dipanjatkan sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW disaat berdepan dengan musuh.

“PAS Melaka juga menyeru semua ahli PAS dan seluruh umat Islam di negeri ini untuk hadir ke Himpunan Taufan Al-Aqsa yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Sabtu ini sebagai tanda solidariti kita terhadap isu ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin itu berkata demikian dalam satu kenyataan dimuat naik di laman _Facebook_ PAS Negeri Melaka hari ini.

Katanya, PAS Negeri Melaka mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas rejim Zionis-Israel  ke atas ibu kota Lubnan dengan menyasarkan  dan membunuh Setiausaha Agung Hizbullah, As-Syahid Sayyid Hassan Nasrallah di Lubnan baru-baru ini.

“Tindakan itu jelas satu cubaan untuk melemahkan gerakan Hizbullah yang didukung Iran di mana selama ini organisasi itu sentiasa melakukan gerakan separa militer dalam usaha membebaskan Palestin terutama Gaza.

“Seluruh negara umat Islam sewajarnya membentuk satu kesatuan yang jitu dan mencontohi apa yang dilakukan Iran dari sudut keberanian serta ketegasan negara itu dalam isu saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Tambah beliau lagi, isu Palestin adalah isu sejagat, jadi rakyat perlu menunjukkan kesatuan tanpa mengira perbezaan parti politik mahu pun agama.

Jelas beliau, keganasan rejim Zionis-Israel terhadap Palestin serta membunuh pemimpin negara umat Islam adalah tindakan melampau dan perlu dizahirkan sikap ummah yang sebenar terutamanya umat Islam.

“PAS Melaka juga ingin mengingatkan Zionis-Israel serta tali barutnya yang berada di seluruh dunia bahawa walau pun mereka berjaya membunuh As-Syahid Sayyid Hassan Nasrallah, namun janji Allah itu pasti.

“Akan lahir ramai lagi watak tegas seorang pemimpin Islam persis ‘Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab RA yang telah berjaya membebaskan Al-Quds dari penjarahan musuh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

- Advertisement -