
KOTA BHARU: Kelantan akan memberi kerjasama terbaik bagi membantu pelabur yang berminat membuka kilang atau berurus niaga di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah itu sebagai usaha untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi.
Katanya, kerajaan negeri juga akan menambahkan lokasi kawasan industri baharu di tempat yang strategik di beberapa jajahan.
“Kerajaan negeri membuka peluang kepada pelabur dalam dan luar negara untuk melabur dalam bidang ekonomi, kesihatan, perlombongan, pertanian dan sebagainya.
“Melalui sokongan pelaburan strategik, Kelantan akan melangkah maju seiring dengan slogan ‘Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera’.
“Setiap pembangunan yang dilaksanakan akan memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya pada pertemuan dengan pelabur di pejabatnya, di MABNA, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Wan Mohd Husni Wan Osman.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, pertumbuhan ekonomi yang mapan akan memberi kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan rakyat.
Sebelum ini Penasihat State-Goverment 4 (SG4) Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Kelantan boleh menarik pelaburan luar sekiranya menyediakan kemudahan asas yang baik termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik. – HARAKAHDAILY 9/10/2024











