Tuisyen Rakyat Sejahtera lahir generasi cemerlang

- Advertisement -

MACHANG: Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan yang dilaksanakan programnya mulai tahun ini diharap dapat melahirkan generasi cemerlang akademik dan teguh jati diri.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadhli Hassan berkata, inisiatif itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik anak-anak khususnya mereka yang memerlukan bimbingan tambahan.

Menurutnya kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM477,000 untuk menjayakan program tersebut melibatkan 1,350 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan secara percuma di setiap DUN.

Jelas beliau peruntukan berkenaan bagi memberi peluang kepada pelajar mengikuti tuisyen tersebut supaya tiada yang terpinggir.

“Kita tidak membiarkan anak-anak terpinggir daripada arus pendidikan meskipun mereka datang dari latar belakang keluarga yang serba kekurangan.

“Setiap anak berhak mendapat peluang untuk membina masa depan dan tanggungjawab kita memastikan tiada jurang yang memisahkan mereka,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Pelancaran Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera Peringkat Parlimen Machang di Maahad Syamsul Maarif Lelaki, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh serta ADUN Kemuning, Ahmad Zakhran Mat Noor. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -