Isham disiasat polis kerana minta PM saman Bloomberg

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil berkata beliau telah dipanggil polis untuk memberi keterangan di IPD Putrajaya susulan saranannya agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyaman portal berita Bloomberg.

Menurut Isham, ia berkaitan laporan portal MalaysiaNow memetik sumber Bloomberg yang mengatakan Perdana Menteri telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak menyiasat isu skandal pemilikan saham oleh bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador.

“Kemungkinan telefon saya akan dirampas. Ini bukan kali pertama telefon saya dirampas oleh polis. Dulu selepas hampir dua tahun baru saya dapat semula telefon saya.

“Petang nanti saya akan pergi ke IPD untuk beri keterangan. Keterangan saya ialah saya telah sarankan Perdana Menteri untuk saman Bloomberg kerana kenyataan Bloomberg tersebut adalah serius dan membawa implikasi yang besar,” katanya.

Tambah beliau, jika kenyataan itu tidak benar! ia amat memalukan institusi Perdana Menteri Malaysia dan menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kesungguhan Perdana Menteri untuk memerangi rasuah.

Jelasnya, kenyataan Bloomberg tersebut boleh menggambarkan bahawa usaha Perdana Menteri untuk memerangi rasuah hanyalah retorik semata-mata dan juga membuka gambaran bahawa beliau sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar ia adalah fitnah yang berat. Jika Perdana Menteri terlalu sibuk untuk saman Bloomberg, saya lihat Peguam Negara juga boleh ambil tindakan ke atas Bloomberg mewakili Kerajaan Malaysia.

“Sebab Bloomberg membuat kenyataan tersebut yang ditujukan kepada Anwar atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri iaitu ketua Kerajaan Malaysia. Reputasi Kerajaan Malaysia telah tercemar akibat kenyataan Bloomberg tersebut,” katanya.

Tegas beliau, Peguam Negara boleh mengambil tindakan ke atas Bloomberg di bawah Akta Komunikasi atau di bawah Kanun Keseksaan atas sebab fitnah jenayah.

Bloomberg juga ada pejabat di Malaysia. Ini bukan kali pertama Bloomberg membuat kenyataan yang mencemarkan imej dan reputasi Perdana Menteri,” katanya.

Kata Isham, jika tiada tindakan diambil ke atas Bloomberg, ia akan memberi persepsi bahawa Perdana Menteri dan Peguam Negara atau kerajaan hanya berani menyaman, mendakwa atau merampas telefon rakyat biasa dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak ada kuasa apabila mereka mengkritik kerajaan.

Tambah beliau, kerajaan sebaliknya akan dianggap tidak berani membuli atau mengambil tindakan kepada syarikat-syarikat besar seperti Bloomberg yang mampu membayar yuran guaman dan membayar saman bernilai beratus juta Ringgit.

“Dalam kes ini, jika tindakan diambil ke atas orang yang menyarankan untuk saman Bloomberg, walhal Bloomberg terlepas begitu sahaja (lagi), ia akan menampakkan sesuatu yang pelik.

“Ini tidak bagus dan perlu dielakkan. Keadilan perlu dicapai tidak kira jika seseorang itu besar atau kecil, berkuasa atau tidak, dan tidak kira ke atas peniaga pasar malam atau syarikat besar antarabangsa,” katanya.

Kata Isham lagi, jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar, Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu mengambil tindakan dan menyangkal perkara itu supaya Bloomberg menarik balik kenyataan tersebut.

Selain Bloomberg juga katanya, perlu meminta maaf agar reputasi Perdana Menteri, kerajaan dan rakyat Malaysia dapat dipulihkan.

“Jika tidak, ia akan membuka kepada anggapan masyarakat antarabangsa bahawa institusi-institusi di Malaysia ini adalah korup dan mempertahankan korupsi. Ini tidak baik sama sekali.

“Di mahkamah kelak, Bloomberg juga boleh mempertahankan diri mereka dan menyatakan mengapa mereka buat kenyataan begitu. Ini penting untuk rakyat mencapai keadilan. Kita bukan mahu buli Bloomberg, kita hanya mahu mencari kebenaran,” katanya.

Beliau berharap agar Perdana Menteri dan Peguam Negara jangan takut untuk menyaman dan mendakwa Bloomberg.

“Boleh rampas telefon mereka juga,” kata Isham dalam satu hantarannya di laman Facebook hari ini. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -
- Advertisement -