Dapur Rakyat YAMCS pantas bantu mangsa banjir

Pengerusi YAMCS bersama AJK di Bilik Operasi mangsa banjir Merbau Sempak, Paya Jaras, Sungai Buloh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantuan Dapur Rakyat antara divisyen dalam Yayasan Amal Malaysia yang bertindak pantas dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Walaupun banjir telah surut, namun bantuan Dapur Rakyat terus beroperasi menyediakan makanan pagi, tengah hari dan malam untuk mangsa banjir dan sukarelawan.

Sumbangan kewangan dan barang-barang keperluan memasak daripada orang ramai disalurkan terus kepada mangsa banjir.

- Advertisement -



Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS) telah membuka bantuan melalui operasi Dapur Rakyat di Bilik Operasi Merbau Sempak, Paya Jaras, bermula 3 Oktober sehingga petang 5 Oktober, kelmarin.

Jawatankuasa YAMCS diketuai Pengerusi, Mohd Nizam Idris bersama sebahagian Ahli Jawatankuasanya, turun padang menjalankan operasi memasak untuk mangsa-mangsa banjir.

Menurut Nizam, sumbangan kewangan daripada masyarakat di kawasan Sabak Bernam telah digunakan sepenuhnya untuk penyediaan makanan tengah hari dan malam mangsa banjir.

Bekalan ikan sebanyak 20 kilogram iaitu ikan kembong, kerisi dan siakap digunakan untuk dua hari, begitu juga sayur bayam dan telur juga disediakan.

Lebih 250 pek makanan tengah hari disediakan untuk mangsa-mangsa banjir di Merbau Sempak.

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor turut menghantar Ahli Jawatankuasanya untuk melaksanakan operasi Dapur Rakyat di Baling, Kedah.

Relawan Dapur Rakyat Selangor iaitu Naib Pengerusi 2, Abd Rahman Sadikin dan relawannya telah beroperasi di Kampung Cherok Puteh, Baling bermula 2 Oktober lalu.

Setiap hari mereka menyiapkan pek makanan untuk diagihkan di tujuh kampung yang mempunyai 61 keluarga.

Petugas 100 sukarelawan dengan jumlah penduduk 500 orang diedarkan makanan bermula 11 pagi dan 6 petang.

Penyediaan makanan di khemah Dapur Rakyat di Baling, Kedah



Banjir kali kedua yang berlaku di Kedah bertambah teruk khususnya di Kampung Rambong apabila hujan berterusan dari jam 3 petang hingga 8 malam, 1 Oktober lalu.

Seramai 150 penduduk dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Kampung Rambong pada 3 Oktober.

Sehubungan itu, bagi memudahkan Yayasan Amal menghantar divisyen Dapor Rakyat ke kawasan yang dilanda banjir, sumbangam amat diperlu untuk penyediaan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

Sumbangan anda boleh disalurkan melalui Maybank 562106222825 Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (Ruj: Banjir). – HARAKAHDAILY 7/10/2024

- Advertisement -