
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor digesa mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran Red Dress Run sempena Pan Asia Hash 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru, Arif Ainuddin berkata, Exco Belia dan Sukan Johor, Hairi Mad Shah perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran program itu selaras kecaman Menteri Besar Johor sendiri.
“Kenyataan media Majlis Perbandaran Pengerang memaklumkan bahawa penganjuran ini tidak mendapat mana-mana kelulusan. Ini jelas suatu kesalahan dan kami menuntut agar tindakan tegas.
“Seperti denda maksimum dikenakan kepada penganjur dan pengelola yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Dewan itu sebentar tadi.
Tegas Arif, acara itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, khususnya dalam kalangan mereka yang prihatin terhadap sensitiviti budaya dan agama.
“Kami berpandangan bahawa penganjur seharusnya peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang majmuk, terutamanya dalam hal berpakaian.
“Penganjur mempunyai kuasa dan bertanggungjawab untuk memastikan setiap peserta mematuhi etika berpakaian yang bersesuaian,” katanya.
Bahkan, tambah beliau, adalah suatu kebiasaan bagi mana-mana penganjur untuk memberikan peringatan awal mengenai Do’s and Don’ts dalam acara yang dianjurkan.
“Kami tertanya bagaimana acara ini boleh dianjurkan seawal 2014 lagi? Lebih-lebih lagi, melihatkan kepada Hash House Harriers (HHH) selaku penganjur yang mempunyai asal yang ‘tidak patriotik’.
“Kami mendapati ia adalah sebuah kelab yang bermula di Kuala Lumpur, namun diasaskan oleh pendatang (penjajah) British yang berkait dengan ‘running’ dan ‘drinking’,” katanya.
Jelasnya, walaupun mungkin larian itu antara lain bertujuan untuk menjana kutipan amal, namun aspek terkait kebiasaan meminum arak jelas bertentangan dengan prinsip dan nilai setempat.
Malah, beliau turut mempersoalkan mengapa poster acara itu juga memperlihatkan gambar kartun lelaki berlari sambil memegang minuman keras boleh terlepas begitu sahaja.
“Carian simbolisme ‘red dress’ membawa pelbagai tafsiran dan konteks berlandaskan sejarah. Bagi ‘Red Dress Run’ pula, ia bermula dari HHH di San Diego, Amerika Syarikat.
“(Ia) apabila Donna Rhinehart mengikuti ‘Hash Run’ dan berlari dengan berpakaian merah sehingga terkenal dengan jolokan ‘The Lady in Red’. Yang pasti, ia tidak menggambarkan budaya kita, tidak mengangkat tokoh kita.
“Red Dress Run ini seperti mana Oktoberfest, hanyalah satu lagi contoh aktiviti dan budaya luar yang tidak diperlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024











