
KUALA LUMPUR: Dunia dilihat menantikan serangan rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat terhadap Iran rentetan serangan Iran terhadap Israel baru-baru ini.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memetik media pro Barat yang melaporkan rejim Israel sedang mengadakan rundingan secara intensif dengan Amerika Syarikat berkaitan pelan serangan ke atas Iran.
“Bloomberg melaporkan berkemungkinan rejim Israel dan Amerika Syarikat akan menyerang infrastruktur minyak dan gas Iran malahan terdapat laporan yang menyatakan berkemungkinan fasiliti nuklear Iran turut menjadi sasaran.
“Walaupun begitu dilaporkan Perancis dan Britain tidak mahu turut terbabit jika rejim Israel dan Amerika Syarikat meneruskan rancangan untuk menyerang Iran,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Khalil berkata, seorang pegawai tertinggi Iran menyatakan kepada Al-Jazeera bahawa Iran telah ‘menyampaikan’ pesanan kepada Amerika Syarikat melalui Qatar iaitu jika rejim Israel menyerang Iran, Republik Islam itu akan bertindak balas dengan cara tidak konvensional dan seimbang yang merangkumi infrastruktur di seluruh negara haram Israel.
Hizbullah tewaskan tentera Israel
Akhirnya menurut beliau, negara haram Israel mengakui bahawa pangkalan tentera udara Nevatim milik tentera udara rejim Israel yang menempatkan pesawat pejuang seperti F-35 dan F-16 serta pesawat perisikan AWACS mengalami kerosakan teruk akibat serangan peluru berpandu Iran, yang sebelum ini dinafikan rejim Israel.
Beliau berkata, terdapat laporan yang mendedahkan bahawa pesawat pejuang yang ditempatkan di pangkalan tentera terbabit turut mengalami kerosakan yang serius.
Menurutnya, semalam sekali lagi tentera rejim Israel kecundang di tangan tentera Hizbullah apabila cuba menceroboh masuk ke sempadan di Selatan Lubnan khususnya di Yaroun dan Maroun Al-Ras melalui penempatan haram Yahudi di Avivim.
Kekacauan di Beirut
Terang beliau, puluhan tentera rejim Israel mati begitu juga yang cedera akibat serang hendap dan terkena jerangkap samar IED yang amat sofistikated.
“Di Kfar Kila pula, tentera rejim Israel lari meninggalkan kawasan pertempuran akibat serangan hebat tentera Hizbullah hingga meninggalkan kereta perisai mereka di bandar tersebut,” jelas beliau.
Beliau berkata, menurut akhbar Lubnan Al-Akhbar, seorang saksi menyatakan helikopter ambulan tentera rejim Israel begitu kerap berulang alik dari kawasan pertempuran di sempadan Lubnan-negara haram Israel ke Hospital ‘Rambam’ di Haifa untuk mengangkut tentera rejim Israel yang mati dan cedera.
Menurut beliau, tentera rejim Israel bertindak bacul dan pengecut apabila terus menyerang Beirut mengakibatkan dua buah bangunan pangsapuri musnah.
Angka korban meningkat
Serangan tersebut juga ulas beliau, turut menyasarkan pejabat Ahli Parlimen Lubnan, Amine Sherri dari parti yang menjadi pendukung kuat Hizbullah.
Namun terangnya, ketika serangan tersebut berlaku, Amine tidak berada di pejabat, sementara pejabat media Hizbullah yang terletak di Moawad, Beirut juga menjadi sasaran serangan tersebut.
“Lewat malam semalam tentera rejim Israel memperhebatkan serangan ke atas Beirut dan dilaporkan ia menyasarkan bakal pengganti Sayyed Hassan Nasrallah iaitu Hashim Safi Al-Din,” ujar ADUN Batu Buruk itu.
Beliau berkata, seorang tentera Lubnan turut terkorban apabila tentera rejim Israel menyasarkan sebuah pusat ketenteraan Lubnan di Bint Jbiel.
Terang beliau, sejak bermulanya serangan udara tentera rejim Israel ke atas Lubnan, angka korban warga Lubnan terus meningkat kepada 1,974 orang termasuk 127 kanak-kanak dan 251 wanita dengan 9,384 orang lagi dilaporkan cedera.
Menurut beliau, Hizbullah bertindak balas atas serangan udara tentera rejim Israel ke atas Lubnan dengan melancarkan lebih 200 serangan roket dan dron ke atas negara haram Israel termasuk Tel Aviv di mana dilaporkan berlaku letupan yang besar di Tel Aviv akibat serangan tersebut.
Serangan serentak
Ulas beliau lagi, selain serangan tersebut yang disasarkan ke atas pangkalan dan fasiliti ketenteraan rejim Israel, kedudukan tentera rejim Israel di sempadan di Selatan Lubnan turut menjadi sasaran.
“Selain Lubnan, Damsyik, Latakia dan Tartous di Syria turut menjadi sasaran serangan udara ganas tentera rejim Israel yang mengakibatkan 3 orang terkorban manakala 3 yang lain dilaporkan cedera.
“Selain Damsyik, sebuah gudang senjata bersama milik tentera Syria dan Rusia yang terletak di Jableh, barat Syria di mana terletaknya pangkalan tentera udara Hmeimim, pengkalan tentera Rusia terbesar di Syria turut menjadi sasaran serangan udara tentera rejim Israel,” kata beliau.
Ustaz Khalil berkata, sejurus lewat petang semalam, kerajaan Rusia mengarahkan rakyatnya yang berada di negara haram Israel supaya segera meninggalkan negara haram tersebut.
Menurut beliau, pesawat pejuang Amerika Syarikat dan Britain telah melancarkan serangan udara ganas ke atas Hodeidah di Yaman semalam.
Beliau berkata, ternyata serangan udara Amerika Syarikat, Britain dan rejim Israel sebelum ini tidak mampu menghalang kumpulan Ansarullah (Houthi) dari terus melancarkan serangan ke atas kepentingan rejim Israel dan sekutunya di Laut Merah mahupun mematahkan serangan udara kumpulan Houthi ke atas negara haram Israel.
Terangnya, terbaharu kelmarin, tentera Houthi telah melancarkan serangan dron bot ke atas kapal tangki Britain ‘Cordelia Moon’ di Laut Merah.
Keberanian Hamas
Buat hari kedua berturut-turut menurutnya, Hamas telah berjaya melancarkan serangan hendap di bandar Gaza khususnya Khan Younis yang mengakibatkan jumlah kematian dan kecederaan yang besar ke atas tentera rejim Israel.
“Namun dalam masa sama, tentera rejim Israel terus melancarkan serangan udara ganas ke atas Semenanjung Gaza yang menyebabkan meningkatnya angka korban warga Palestin kepada 41,788 orang dengan 96,794 lagi dilaporkan cedera.
“Doakan agar tidak lama lagi Palestin dan warganya bakal mengecapi kemenangan dan kemerdekaan yang mutlak,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 4/10/2024











