
KUALA LUMPUR: “Saya sebenarnya tidak berminat dengan pelbagai provokasi saban hari oleh pimpinan Umno setempat,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN), Ustaz Zuridan Mohd Daud.
Ini, ujarnya kerana beliau masih berharap kesatuan ummah melalui Muafakat Nasional akan dapat dihidupkan kembali.
Menurutnya, cuma sikap sesetengah individu yang berterusan membuat tuduhan mendorong beliau untuk membuat penjelasan supaya warga DUN Damak khususnya berhak mendapat maklumat yang betul.
“Hingga setakat ini saya secara peribadi tidak pernah menyerang mana-mana pemimpin Umno dari peringkat cawangan hinggalah ke negeri kerana pendekatan saya ialah menerang bukannya menyerang,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Jelasnya, sikap itu beliau amalkan juga ketika berbahas dalam persidangan DUN.
“Terbaru terdapat seorang individu yang telah menuduh saya dengan mengatakan saya tidak berbuat apa-apa mengenai isu jambatan di SK Damak,” ujarnya.
Berkebetulan pula, katanya ADN lantikan yang baru membuat lawatan bersama ketua-ketua jabatan yang berkaitan ke SK Damak di mana beliau saya tidak dimaklumkan.
“Maka YB Ahli Parlimen Jerantut dan ADN Damak dituduh seolah-olah tidak tahu menahu soal isu ini dan tidak berbuat apa-apa.
“Saya faham beliau cuba untuk menggambarkan kehebatan parti beliau dan YB lantikan mereka, tapi tidak usahlah hingga mereka cerita yang bukan-bukan,” katanya lagi.
Begitupun, beliau tidak mahu mengulas panjang perkara tersebut.
“Cuma saya perincikan tindakan yang telah diambil semenjak mula berlakunya hakisan tanah di jambatan SK Damak,” jelasnya yang memuat naik beberapa dokumen berkaitan:
Ustaz Zuridan menjelaskan beliau turun ke lokasi aduan hakisan tanah tembok di bawah jambatan Sekolah Kebangsaan (SK) Damak pada 21 Mac 2022.
Pada 22 Mac, beliau membuat laporan kepada pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Jerantut berkenaan hakisan tanah yang berlaku itu.
Katanya, beliau turun lagi ke lokasi itu pada 26 Mac.
Jelasnya, pada 13 Disember 2022, beliau menghantar surat permohonan membaik pulih segera diangkat kembali kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurutnya, beliau menghantar surat permohonan tar jalan di jalan alternatif kepada pihak JKR pada 4 Julai 2022.
Pada 8 Januari 2023 pula, ujarnya beliau turun lagi ke lokasi bersama Naib Yang Dipertua PIBG SK Damak.
Pada 7 Februari, katanya beliau turun lawatan ke lokasi bersama Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan bertemu dengan Guru Besar SK Damak
Tambahnya, soalan berkaitan perkara itu dibangkitkan di dalam persidangan DUN, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua pada 27 Jun 2023:
Katanya lagi, pada 24 Julai lalu saya membangkitkan kembali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan Pegawai Daerah memaklumkan bahawa dalam fasa penilaian teknikal peringkat akhir oleh JPS.
“Sekian, dari saya. Selidik sebelum berkata,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang. – HARAKAHDAILY 3/10/2024
















