Peranan majikan cegah punca masalah mental

- Advertisement -

BALING: Kesihatan mental yang baik adalah tonggak utama kejayaan sesebuah organisasi dan perkhidmatan dalam menyumbang kepada kemajuan negara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, tekanan berpanjangan di tempat kerja boleh menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah mental.

“Antaranya seperti ‘burnout’ (masalah mental, emosi dan keletihan fizikal ) yang boleh menyebabkan kemurungan, keresahan, panik dan lebih teruk lagi boleh mengakibatkan gejala bunuh diri,” katanya.

Menurutnya lagi, kajian yang dibuat pada 2019 menunjukkan lebih daripada 51 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan mengakibatkan penurunan prestasi kerja.

Tekanan di tempat kerja tambahnya, juga berkait rapat dengan sikap ketua atau majikan yang tidak bersifat empati serta tidak memberi inspirasi kepada pekerja bawahannya.

Akhirnya kata beliau, pekerja bawahan tiada daya berjuang melawan emosi yang mengakibatkan masalah mental dan tekanan.

Mansor berkata demikian pada ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Hari Pencegahan Bunuh Diri 2024 bertempat di Pusat Kesihatan Mental Komuniti (MENTARI), Kupang, di sini hari ini.

“Budaya kerja yang positif perlu ditambah baikan di setiap organisasi masing-masing. Saya sangat berharap diskriminasi dan stigma terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental ini dapat dihapuskan segera,” ujarnya lagi.

ADUN Kuala Ketil itu justeru mengharapkan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Utamakan Kesihatan Mental Di Tempat Kerja’ dapat membantu menghindari berlakunya tekanan mental di kalangan pekerja.

Sebalik tegasnya, sebagai satu motivasi dan aspirasi menjadikan kesihatan mental warga pekerja sebagai keutamaan bagi mewujudkan suasana kerja yang sihat serta persekitaran kerja kondusif.

Dalam masa sama, sambutan dan tema kali juga harapnya menjadi  landasan yang paling sesuai untuk mempromosi, memberi pengetahuan dan khidmat nasihat kepada masyarakat.

“Khususnya kepada ketua organisasi atau majikan tentang kepentingan kesihatan mental di tempat kerja agar kesan negatif itu dapat dikurangkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

- Advertisement -