Konvensyen Ahli PAS Luar Negara di Istanbul capai kejayaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konvensyen Ahli PAS Luar Negara pertama yang diadakan pada 28 dan 29 September lalu di Istanbul, Turkiye telah berjaya menghimpunkan ahli-ahli PAS dari pelbagai negara.

Pengarah konvensyen, Salleh Harun berkata, acara itu dianjurkan oleh Jabatan PAS Luar Negara (JPLN) dan menjadi medan perbincangan penting bagi ahli-ahli parti yang menetap dan aktif di luar Malaysia, selain memperkukuh hubungan dengan pimpinan PAS Pusat.

“Program ini berperanan sebagai platform bagi memperkukuh ukhuwah dan memperkasakan peranan ahli PAS di peringkat antarabangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan ahli PAS luar negara dalam menyumbang kepada pembangunan parti dan memainkan peranan strategik di peringkat global.

Acara turut dihadiri oleh pimpinan PAS seperti Naib Presiden, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Pengarah JPLN, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Ia turut dihadiri oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin; Pengarah Strategik Jabatan Pilihan Raya, Dr Wan Nik Wan Yusoff dan pelbagai delegasi dari negara-negara di mana PAS mempunyai kehadiran aktif.

Salleh menekankan pentingnya program sebegitu bagi mengukuhkan penglibatan ahli PAS luar negara dalam pilihan raya dan usaha meningkatkan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.

Katanya, konvensyen itu berjaya membincangkan pelbagai topik strategik berkaitan penglibatan ahli PAS luar negara dalam perkembangan politik Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa antara isu utama yang dibincangkan ialah strategi penglibatan ahli PAS luar negara dalam pilihan raya Malaysia serta kepentingan menjaga imej dan kredibiliti parti di luar negara.

 “Serta usaha untuk mengukuhkan jaringan kerjasama dengan badan-badan diaspora antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, sesi perbincangan panel dan diskusi yang diadakan sepanjang konvensyen telah membuka ruang dialog yang membina serta memberikan inspirasi kepada ahli PAS luar negara untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti.

Tambahnya, para peserta berpeluang berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai cabaran serta peluang yang dihadapi di negara masing-masing.

Beliau turut menyatakan bahawa konvensyen itu merupakan titik tolak penting bagi JPLN dalam memperkukuhkan jaringan ahli PAS di peringkat global.

Beliau berharap agar konvensyen ini dapat dijadikan acara tahunan yang lebih besar dan berimpak pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

- Advertisement -