
KUALA LUMPUR: Adab dan budaya Raja-raja Melayu penting dalam memperkukuhkan perpaduan negara, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Kenyataan itu dibuat susulan pertemuan antara Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 1 Oktober lalu.
Dalam catatan di laman Facebook Tunku Mahkota Ismail berkongsi perbincangan antara kedua-dua pemimpin, yang merangkumi isu perpaduan rakyat, profesionalisme di Malaysia, serta penyatuan Institusi Diraja sebagai simbol kebangsaan.
Menurut Roslan, pandangan yang dikongsikan mencerminkan kebijaksanaan Raja-raja Melayu dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara.
Selain itu beliau berkata, kedua-dua Raja turut bersetuju bahawa perseteruan dalam arena bola sepak harus kekal di padang, manakala rasa hormat dan perpaduan perlu diteruskan di luar padang.
Itu, menurut Roslan, menunjukkan betapa pentingnya sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat walaupun dalam suasana persaingan.
“Kebijaksanaan dan pandangan jauh Raja-Raja Melayu sesungguhnya meyakinkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya bahawa Institusi Raja-raja Melayu akan kekal dipertahankan hingga akhirat,” kata Roslan dalam media sosial miliknya hari ini.
Roslan turut mengaitkan perkara itu dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 103, yang menyeru umat Islam untuk bersatu dan tidak berpecah-belah, sambil menegaskan betapa pentingnya penyatuan ummah sebagai perintah Allah SWT.
“Penyatuan dan perpaduan ummah ini perintah Allah SWT. Moga Raja-raja Melayu kekal selaku tonggak menunjuk ajar dan membimbing rakyat ke arahnya. Raja dan rakyat berpisah tiada. Daulat Tuanku,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











