
HULU SELANGOR: Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun selesai mengadakan lawatan ke 10 premis klinik Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) daerah itu.
Lawatan itu bertujuan bertemu kakitangan kesihatan bertugas dan orang ramai yang mendapatkan rawatan di situ bagi mendapatkan maklum balas terhadap perkhidmatan di situ.
“Jadi saya lebih memfokuskan kepada melihat persekitaran, apa yang boleh saya bantu dan juga mendapat input-input daripada kakitangan-kakitangan klinik yang ada di sini.
“Tetapi setakat yang saya hadir ini di klinik saya tidak nampak isu-isu yang besar berlaku. Tidak ada. Malah berjalan dengan baik, berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran video di laman _Facebook_ rasminya semalam usai kunjungannya ke destinasi terakhir dalam siri lawatannya iaitu Klinik Kesihatan Kalumpang.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh kakitangan khususnya di PKD Hulu Selangor yang telah berusaha sebaik mungkin dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi seluruh masyarakat di situ.
“Saya ucapkan terima kasih pada pihak Klinik Kesihatan khususnya kepada PKD dan juga doktor-doktor yang saya hadir berjumpa kerana kesudian meraikan kehadiran saya, sekadar untuk bertanya khabar dan sebagainya.
“Jadi insya-Allah saya akan lihat atas apa juga keperluan sepertimana saya katakan tadi, saya hadir untuk berjumpa dan juga melihat apa perkara-perkara yang mungkin boleh saya bantu,” katanya.
Siri lawatan beliau ke klinik-klinik di bawah PKD Hulu Selangor itu bermula pada 23 September lepas melibatkan Klinik Kesihatan Sungai Selisik dan FELDA Soeharto.
Klinik-klinik lain yang telah beliau lawati ialah Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Yam, Klinik Ibu dan Anak Bukit Beruntung, Kuala Kubu Baru, Rasa, Sungai Buaya dan Hulu Bernam. – HARAKAHDAILY 3/10/2024














