
AYER KEROH: Ahli Parlimen Tanggal Batu, Bakri Jamaluddin dalam hantaran Facebook beliau semalam menzahirkan kesedihan atas pemergian dua kenalan rapatnya yang pergi buat selamanya.
Dua individu itu menurut beliau, ialah Allahyarham Md Nor Yeob dari Kampung Sungai Sega, Batu Kurau, Larut, Perak dan Julak Sukirin Sarno yang menetap di Kampung Sei Bebangun, Kabupaten Berau, Kalimantan Timur, Indonesia.
Beliau dalam hantarannya menyifatkan Allahyarham Md Nor Yeob yang dikenali semasa bertugas di Larut suatu ketika dulu dan menghembuskan nafas terakhir jam 11:30 malam kelmarin sebagai seorang sahabat karib.
“Kami bersama-sama Allahyarham Ustaz Rusly Ramli, Allahyarham Ustaz Kamarudin Awang Basir, Allahyarham Pak Nga Leh, Allahyarham Pak Lang Talib adalah pengasas Pusat Pendidikan Islam Darul Ta’alim,” katanya.
Jelas Bakri, Pusat Pendidikan Darul Ta’alim itu didirikan di atas tanah seluas 12 ekar pada tahun 1995 dan telah dirasmikan oleh Presiden PAS ketika itu iaitu Allahyarham Ustaz Dato’ Fadhil Mohd Noor.
“Beliau adalah seorang kontraktor, kerana itu senibina masjid dalam Darul Ta’alim itu atas idea dan konsep beliau sendiri. Beliau juga seorang yang sangat-sangat dermawan.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada dan solehin,” katanya.
Sementara itu, menurut Bakri, sahabatnya Julak Sukirin Sarno pula menghembuskan nafas terakhir pada jam 8:05 pagi semalam waktu tempatan.
“Allahyarham menjaga saya seperti ahli keluarganya sewaktu saya bertugas di Berau, Kalimantan Timur selama lapan tahun.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosa dan kesalahannya serta menempat rohnya bersama para solehin. Amin,” ujar beliau.
Beliau turut mendoakan agar segala jasa baik Allahyarham dan keluarganya terhadap dirinya dibalas dengan kebaikkan oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











