
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka akan melanda nanti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu mesyuarat melibatkan pihak berkuasa negeri telah diadakan baru-baru ini sebagai persediaan awal menghadapi musim banjir.
“Kita mendapat taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tentang fenomena yang berlaku.
“Bilakah jangkaan monsun timur laut itu akan sampai dan kemungkinan boleh berlaku.
“Insya-Allah kita bersedia dan setiap tahun kita sentiasa berdepan perkara yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di sebuah dewan di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Beliau juga menyeru agar semua pihak bersama-sama berdoa agar negeri Terengganu terhindar daripada banjir buruk.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat memaklumkan sebanyak RM2.038 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 2/10/2024











