
POKOK SENA: Seramai 60 keluarga di Kampung Bukit Hijau dan Kampung Bukit yang terjejas akibat banjir menerima sumbangan ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, semalam.
Mereka antara mangsa yang terkesan akibat banjir gelombang kedua yang melanda Daerah Pokok Sena, 28 September lalu, namun kekal di kediaman masing-masing dan tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Majlis sumbangan diadakan di surau Kampung Bukit Hijau itu, turut dihadiri Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang juga Ketua Pengarah Khidmat Malaysia dan ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood Al-Hafiz.
Antara barangan sumbangan tersebut termasuklah barangan keperluan harian dan lain-lain di mana terdahulu, Ustaz Mohd Azam mengadakan lawatan di PPS di Madrasah Maahad Tarbiah Islamiyah, Derang.
Selain menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS berkenaan, beliau sempat melakukan tahnik bayi kepada salah penghuni pusat tersebut yang berusia 24 hari.
Dalam pada itu keadaan banjir di Kedah semakin pulih dan jumlah mangsa telah menurun kepada 107 orang (31 keluarga) sehingga 4:30 petang, berbanding 633 orang mangsa (212 keluarga) pada 8:00 pagi tadi.
Sementara, menurut Info Bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), cuaca yang baik juga menyaksikan 11 PPS yang berada di daerah Pokok Sena dan Baling telah ditutup, hari ini.
Mangsa banjir kini hanya tertumpu di daerah Kota Setar yang masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.
Berdasarkan laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),Sungai Anak Bukit di Taman Aman, dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR melepasi paras amaran.
Manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, berada pada tahap waspada. – HARAKAHDAILY 2/10/2024














