Pekerja sendiri disaran carum PERKESO – MB Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Pekerja sendiri di negeri ini disaran mengambil peluang mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kadar serendah RM23.30 setahun, selepas kerajaan mengumumkan sambungan tempoh caruman.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, bahawa sebelum ini kadar caruman adalah sebanyak RM46.60, namun kini kerajaan telah menurunkan kepada RM23.30 untuk memberi kemudahan kepada pekerja sendiri.

“Saya ingat yang sebelum ini caruman RM46.60, tapi sekarang kerajaan turunkan kepada RM23.30. Sepatutnya dah tutup pada bulan Jun, tapi mulai hari ini disambung balik caruman ini.

“Kita harap semua pekerja sendiri dalam negeri Perlis ini akan mencarum untuk masa depan yang lebih bahagia, insya-Allah,” kata beliau.

Shukri menambah, perlindungan itu penting kerana kemalangan atau musibah tidak dapat dijangka dan perlindungan PERKESO akan membantu meringankan beban pencarum sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata demikian selepas program Taklimat Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri anjuran Persatuan Wanita Prihatin Negeri Perlis (PERNITA) di Dewan Residensi, di sini pada Sabtu lepas.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi PERNITA, Nor Shahirah Mat Salleh, serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup, Razali Saad, yang merasmikan majlis penutup program tersebut.

Sementara itu, Nor Shahirah berkata, program tersebut diharap dapat memberi kesedaran kepada pekerja sendiri mengenai kepentingan mencarum dalam PERKESO, serta manfaat yang boleh diperolehi melalui skim ini. – HARAKAHDAILY 30/9/2024

- Advertisement -