
KANGAR: Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam acara Fun Run anjuran PASTI Kawasan Arau yang diadakan di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, di sini semalam.
Program ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan keluarga besar PASTI serta mempromosikan gaya hidup sihat termasuk kepada masyarakat.
Pengarah Program, Abdul Hadi Halipah berkata, aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mampu mengeratkan hubungan antara ahli masyarakat.
“Alhamdulillah, program ini berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan ukhuwah dan kesihatan,” katanya.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahuddin Azmi.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim, yang juga Naib Yang Dipertua PAS Arau.
Dato’ Seri Shahidan Kassim memuji penganjuran program tersebut yang dianggap mampu memperkukuhkan silaturrahim bersama masyarakat setempat.
Bagi menghargai penyertaan, sebanyak 60 hadiah cabutan bertuah disediakan untuk para peserta, termasuk basikal, wang tunai, dapur gas, hamper dan beg sekolah.
Selain itu, semua pelajar yang turut serta dalam acara ini menerima medal sebagai tanda penghargaan.
Program ini juga mendapat sokongan daripada HPA Industries yang menaja 300 tin air Radix bernilai RM1,000 untuk diagihkan kepada para peserta. – HARAKAHDAILY 30/9/2024

















