Tabah hadapi kejelikan akhlak cybertrooper PH

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melahirkan rasa kecewa terhadap laskar siber (cybertrooper) Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai akhlak yang parah.

Ketua Penerangannya Dr. Najihatussalehah Ahmad berkata, baru-baru ini mereka menyiarkan gambar isteri dan anak-anak Ketua Pemuda PAS merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden beserta kata-kata yang jelik ditujukan kepada anak-anak perempuannya yang masih bawah umur.

- Advertisement -

“Pertembungan di gelanggang politik tidak sewajarnya mengheret keluarga apatah lagi kanak-kanak di bawah umur yang dilindungi oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan dalam media sosial Facebook Dewan Muslimat PAS Malaysia hari ini.

Menurut beliau, ucapan Afnan Hamimi tidak menyebut nama mana-mana pihak sekalipun.

“Justeru itu, cybertrooper PH tidak sewajarnya pergi terlalu jauh sehingga mendedahkan wajah keluarga beserta kata- kata-kata yang kotor, jelik dan jelas tidak berakhlak.

“Tidak hairanlah Khairy Jamaludin (KJ) berulang kali membangkitkan tentang sikap cybertrooper PH yang tidak boleh diterima.

“Namun mereka (cybertrooper PH) tidak pernah berubah dan terus bersikap keterlaluan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Najihatussalehah menyatakan bahawa Afnan Hamimi telah membuat laporan polis untuk tindakan sewajarnya ke atas cybertrooper berkenaan.

“Maka, DMPM mendoakan agar beliau dan semua pihak yang pernah melalui episod yang sama berhadapan dengan kejelikan akhlak cybertrooper PH dikurniakan oleh Allah SWT ketabahan dan undang-undang akan memberikan keadilan sewajarnya kepada pihak yang teraniaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2024

- Advertisement -