
PADANG BESAR: Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun, menyatakan keyakinan bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) mempunyai peluang cerah dalam PRK DUN Mahkota di Johor.
Beliau yang juga ADUN Beseri mengakui bahawa cabaran tetap ada, tetapi berpendapat situasi semasa memberi harapan kepada PN untuk meraih kemenangan.
Haziq turut menyifatkan bahawa wujud kebimbangan Umno-Barisan Nasional (BN) mengenai penurunan sokongan terutamanya berikutan kerjasama mereka dengan Pakatan Harapan (PH).
“InsyaAllah, dalam PRK Mahkota ini, ada peluang untuk PN. Saya melihat pihak lawan kini risau sokongan mereka akan berkurangan, yang mungkin memberi impak besar kepada Umno, yang selama ini dianggap kubu kuat mereka di Johor,” katanya.
Beliau menambah bahawa hubungan antara Umno dan PH dalam kerajaan campuran kini tidak menunjukkan kekuatan yang sepatutnya, sebaliknya berisiko mengancam kedudukan tradisi Umno di Johor.
“Kerajaan kini ini tidak begitu kukuh, dan saya jangka konflik dalaman antara Umno dan DAP akan memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik negara,” ujarnya.
Haziq juga mengulas mengenai isu semasa, termasuk kenaikan harga minyak yang mendadak di mana ianya masih segar dalam ingatan rakyat.
Beliau percaya isu tersebut akan berperanan penting dalam mempengaruhi sokongan pengundi pada PRK Mahkota.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.
Pengundi berdaftar dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka esok, setelah tempoh kempen selama 14 hari berakhir tepat jam 12 malam ini.
Pengundi akan memilih antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan wakil PN Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang kedua-duanya akan menunaikan hak mengundi pada PRK ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











