
KOTA BHARU: Doktrin Islamfobia dilihat semakin subur di era kerajaan Madani apabila ada pemimpin non Muslim berani mencampuri urusan berkaitan orang Islam.
Pensyarah Psikososio sebuah universiti awam, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, jarang berlaku sebelum ini ada orang bukan Islam bercakap mengenai hal ehwal orang Islam.
Lebih-lebih lagi katanya berkaitan sijil halal yang menjadi tuntutan kepada orang Islam bagi mendapat makanan yang halal, bersih dan suci.
“Malangnya di era sekarang ada pemimpin bukan Islam berani bersuara mengenai sijil halal, sedangkan ia dituntut dalam Islam,” katanya di sini.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilapor disiasat polis berhubung kenyataannya berkaitan isu pensijilan halal yang didakwa membebankan peniaga di Malaysia.
Dr Zulkeflee juga berkata, pengundi di DUN Mahkota hendaklah menggunakan peluang mengundi esok bagi menolak parti yang mendukung kerajaan Madani.
Menurutnya juga kerajaan Madani berdepan dengan pelbagai masalah terutamanya kos sara hidup rakyat semakin membebankan sekarang dan PH-BN mengabaikan janji-janji pilihan raya.
Kata beliau ketika kempen pilihan raya pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjanjikan mahu mengurangkan jumlah angota kabinet dan tidak melantik pemimpin politik menerajui syarikat milik kerajaan.
Namun katanya, apa yang berlaku sekarang kerajaan Madani melanggar sesuka hati apa yang dijanjikan kepada rakyat ketika sebelum mendapat kuasa.
“Rakyat perlu gembleng kompetensi dan sikap mulia membina negara tanpa kakitokrasi dan korupsi serta amanah dalam mengurus negara.
“Oleh itu pilihan raya kecil peluang keemasan bagi pengundi di DUN Mahkota memprotes dan unjuk rasa terhadap pemerintah yang menguasai Putrajaya sekarang,” ujarnya.
PRK DUN Mahkota esok menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
DUN Mahkota terletak di kawasan Parlimen Kluang mempunyai 66,318 pengundi. Merek akan membuang undi 20 pusat mengundi esok. Sebanyak 34 peratus daripada jumlah pengundi merupakan kaum Cina.
Dr Zulkeflee juga berkata, usaha Timbalan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menganjur dialog dengan penduduk bukan Melayu merupakan langkah terbaik untuk memberi pencerahan tentang perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











