Sultan Selangor berkenan ampun Muhammad Sanusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Dato’ Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu. Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

“Dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” ujar baginda dalam warkah yang disiarkan di Facebook rasmi Selangor Royal Office, sebentar tadi.

- Advertisement -



Sultan Sharafuddin dalam kesempatan itu turut menasihati Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata.

Terutama sekali titah baginda, bila berada di dalam Negeri Selangor dan Sultan Sharafuddin tidak mahu rakyat khususnya di negeri itu terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas.

“Terutama sekali daripada golongan pemimpin. Kelakuan dan tuturkata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Dato’ Seri. Sebagai seorang pemimpin, Dato’ Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

“Akhir sekali Beta berharap semoga Dato’ Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab,” titah baginda.

Muhammad Sanusi terdahulu mengutuskan permohonan maaf tersebut dan membacakan kandungan surat tersebut dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Beliau mengakui menyedari bahawa kata-katanya telah menimbulkan rasa tidak selesa serta mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor dan benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut.

“Patik ingin menyembah maklum bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku Sultan yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini. Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang, khususnya berkaitan kes patik di negeri Selangor.

“Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihanraya,” kata beliau.

Beliau turut mengakui kenyataannya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.

Justeru katanya lagi, beliau dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor dan juga terhadap Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari serta rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya.

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja,” tambah beliau.

Sanusi sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas dua kesalahan iaitu didakwa mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik pada tahun lalu.

Beliau dalam kes sama turut berdepan tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Kedua-dua pertuduhan itu membabitkan ceramahnya Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, sekitar 11 malam pada 11 Julai tahun lalu.

Beliau juga didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor pada ucapan yang sama.

Berhubung kenyataan itu, beliau didakwa menyentuh isu 3R, berkait agama, kaum dan Institusi Diraja. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

- Advertisement -