Paras air Sungai Semantan masih terkawal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Paras air Sungai Semantan masih dalam keadaan terkawal, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, Hasan Omar.

Beliau menyatakan demikian susulan tinjauan di Kampung Batu Kapor Bawah yang mana lokasi itu antara lokasi yang rendah dan terawal jika berlaku bencana banjir.

“Daripada tinjauan saya paras air Sungai Semantan masih lagi dalam keadaan terkawal ketika ini, ujarnya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun, beliau berharap semua penduduk yang berisiko rumah dinaiki banjir agar sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika berlakunya banjir.

Katanya, Khidmat Malaysia Temerloh ketika ini dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi apa-apa kemungkinan atau bencana di daerah itu.

Tambahnya, Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal akan diselaraskan mengikut prosedur dan keperluan bersama agensi-agensi awam.

Sebelum itu, beliau meninjau keadaan banjir di Taman Mentakab Indah, pagi tadi.

Beliau dimaklumkan air naik pada sekitar jam 12 tengah malam tadi.

Menurutnya, hujan yang lebat dan lama semalam mengakibatkan air naik dengan cepat.

“Alhamdulillah pagi ini pemantauan saya lihat, air telah pun surut sepenuhnya dan rata-rata rumah yang terlibat telah selesai dibersihkan.

“Sama-samalah kita doakan moga kita semua sama ada di Taman Mentakab Indah mahupun Lanchang dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

- Advertisement -