Laporan polis terhadap komen sensitif wajar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim menyokong laporan polis dibuat terhadap pengguna media sosial yang mengundang kemarahan umat Islam.

Beliau menyifatkan tindakan Dewan Pemuda PAS Kemaman (DPPKK) yang telah membuat laporan polis berhubung komen oleh individu yang menggunakan nama Lau Peter Lau yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam adalah tepat.

Katanya, tindakan itu penting untuk mencegah sebarang kemungkinan insiden yang boleh mencetuskan ketegangan dan perpecahan di masa hadapan.

- Advertisement -

“Masalah perpaduan di Terengganu masalah yang kita kira isu yang tidak besar, tapi walaupun tidak besar tapi boleh menjadi besar kalau kita tidak bendung.

“Sebab itu laporan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh DPPKK saya sokong supaya benda ini tidak dijadikan sebagai satu bahan yang mungkin satu masa dia akan berkembang boleh mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pesta Buku @PPAT 2024 bertempat di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim.

Terdahulu, komen kontroversi oleh Peter Lau, yang berbunyi “ajaran sesat ini, macam mat rod mak saleh” pada sebuah video berdurasi satu minit, dianggap sesuatu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan dalam kalangan umat Islam. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

- Advertisement -