PRK Mahkota: Bukan Melayu tidak perlu bimbang undi PN

Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
- Advertisement -

KLUANG: Presiden parti GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, rakyat di DUN Mahkota terutamanya golongan bukan Melayu tidak perlu bimbang untuk mengundi PERIKATAN NASIONAL kerana kemenangan itu tidak akan mengubah kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota itu penting bagi menambah kerusi pembangkang dalam DUN Johor sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri itu selaras dengan tuntutan demokrasi.

“Walaupun kita menang dalam PRK ini, kita tak akan menjadi kerajaan. Oleh itu tak payah risaulah, tak payah khuatir.

“Dalam sesebuah negara yang demokrasi tu kita mesti ada pembangkang untuk memantau prestasi kerajaan. Tak kisahlah negeri atau Persekutuan,” katanya.

- Advertisement -

Kerana itu, beliau menyeru agar semua pengundi terutama semua masyarakat Cina agar keluar mengundi, namun memberikan undi mereka kepada PERIKATAN NASIONAL.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui dalam sesi walkabout kempen PERIKATAN NASIONAL bagi PRK DUN Mahkota di Pasar Malam Kampung Paya, di sini, petang tadi.

Menurut beliau, tempoh kempen yang berbaki dua hari lagi akan digunakan sebaik mungkin untuk meraih sokongan rakyat bagi PERIKATAN NASIONAL.

Kata Dominic lagi, beliau mengakui PERIKATAN NASIONAL secara tradisinya sukar untuk mendapat undi dari kaum Cina, namun beliau percaya bahawa prinsip integriti yang dipegang parti gabungan itu akan sedikit sebanyak dapat menarik sokongan pengundi dari kaum itu.

“Memang apa janji-janji kita, kita tunaikan. Oleh itu kita percayalah bahawa prinsip-prinsip dan usaha-usaha ini akan mendapat sokongan daripada kalangan rakyat atau pengundi-pengundi kepada PERIKATAN NASIONAL,” ujar beliau.

Tambah beliau, berdasarkan tinjauan yang dibuat beliau mendapati bahawa pengundi-pengundi Cina berada dalam situasi keliru kerana dahulu semasa pilihan-pilihan raya sebelum ini DAP meminta mereka menyokong Pakatan Harapan tetapi kini ia telah berubah.

“Mereka kata sokongan tidak boleh diberikan kepada Barisan Nasional. Tetapi kali ini pula mereka minta sokong Barisan Nasional. Oleh itu kekeliruan yang berlaku ini sudah dibangkitkan oleh masyarakat Cina terutamanya di DUN Mahkota itu. Mereka pun kata mana prinsip yang mereka pegang dulu?

“Banyak kita katakan janji-janji oleh DAP itu tidak ditunaikan dan selepas itu pula kamu minta orang atau masyarakat pengundi DUN Mahkota itu sokong Umno, sokong Barisan Nasional. Oleh itu mereka pun tak terima,” katanya.

Kata beliau lagi, walaupun PH-DAP kini berkerjasama dengan Umno-BN berada dalam satu gabungan dan bersama-sama di bawah Kerajaan Madani, tetapi hakikatnya hala tuju mereka sebenarnya tidak sama.

Justeru, beliau meminta agar pengundi-pengundi terutama dari kaum Cina dapat memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) sementara BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon.

28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula berlangsung semalam melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

- Advertisement -