Kaum ibu teruja sertai pertandingan mewarna

- Advertisement -

TUMPAT: Program Hari Terbuka Darul Niswah (PPWK) DUN Wakaf Bharu menampil acara yang jarang berlaku sebelum ini iaitu pertandingan mewarna orang dewasa.

Selain itu diadakan aktiviti musang berjanggut, pertandingan sembat dan jahit mata lalat.

ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, acara pertandingan mewarna orang dewasa mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan ramai wanita dan surirumah.

- Advertisement -

Katanya, acara seperti itu jarang diadakan sebelum ini memandangkan kebiasaannya diadakan aktiviti mewarna kanak-kanak.

“Namun pada Hari Terbuka Darul Niswah DUN Wakaf Bharu kali ini kita menampilkan acara yang berbeza, ia belum pernah diadakan sebelum ini,” katanya pada program tersebut baru-baru ini.

Menurutnya juga program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan pimpinan peringkat Dun dengan masyarakat setempat.

Kata beliau program terbabit lebih bersifat santai dan ukhuwwah yang sedia terjalin di mana-mana tempat di Kelantan.

“Ramai yang hadir kelihatan seronok menyertai pelbagai acara yang dianjurkan,” ujarnya selepas majlis berkenaan. Turut hadir isteri ADUN Wakaf Bharu, Nor Azhana Abd Aziz, penghulu serta pimpinan masyarakat tempatan.

Lebih 600 penduduk tempatan hadir pada program yang diadakan di perkarangan Wisma Purnama.

Pada program itu turut diadakan penyampaian beras al-It’am kepada 300 penerima. Selain itu rawatan bekam sufi, pemeriksaan mata percuma dengan kerjasama Azhana Optometris dan pameran produk PPWK DUN Wakaf Bharu. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

- Advertisement -