Hilang budi bicara kerana dendam politik

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka bertindak kepada empat kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) termasuk pemecatan kerana menyisipkan gambar Presiden PAS dalam satu slide khutbah Jumaat, disifatkan sebagai hilangnya budi bicara akibat dendam politik

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Jasin, Ustaz Zulhilmi Aziz Abdul Hannan berkata, sewajarnya kerajaan mengambil ibrah dari sambutan Maulidur Rasul SAW yang mengajar umat Islam untuk mengamalkan politik matang iaitu mampu memenangi hati kawan dan lawan.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin amat kesal dengan keadaan politik di Malaysia, khususnya di Melaka saat ini, di mana tindakan drastik telah diambil hanya kerana ‘sedikit kesilapan teknikal’ oleh kakitangan kerajaan.

“Empat pegawai, termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di JAIM, dipindahkan dan dipecat hanya kerana memaparkan gambar YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam slaid khutbah Jumaat di Melaka,” katanya.

Tegasnya, Pemuda PAS Jasin menganggap tindakan itu keterlaluan dan tidak beretika di mana sepatutnya tindakan amaran boleh dilakukan terlebih dahulu.

Namun, menurut beliau, Pemuda PAS Jasin juga tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau di Melaka bukanlah perkara baru.

“Pemuda PAS Jasin mengingatkan semula tentang surat pekeliling JAIM bertarikh 25 Oktober 2023 mengenai pelantikan jawatankuasa kariah masjid dan surau di Melaka bagi sesi 2024-2026.

“Bagaimanakah ADUN bukan-Islam (pro-kerajaan) boleh mencadangkan senarai jawatankuasa, sedangkan ADUN pembangkang yang beragama Islam tidak pula diberikan keutamaan?” soalnya.

Tambah beliau, Pemuda PAS Jasin turut kesal akan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Melaka di mana mengatakan pemecatan pegawai JAIM itu adalah kerana keresahan dan rungutan awam, yang didakwa berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat Islam di Melaka.

“Pemuda PAS Jasin mencabar Kerajaan Negeri untuk membuktikan kebenaran dakwaan tersebut. Adakah tindakan itu demi memelihara keharmonian atau kerana dorongan dendam politik terhadap tokoh ilmuan berjasa yang diiktiraf dunia seperti YB Tan Sri Tuan Guru?” soalnya lagi.

Tambah beliau, undang-undang sememangnya mengakui hak prerogatif majikan dalam pengurusan, namun hak ini harus diseimbangkan dengan hak dan kebajikan pekerja.

Katanya lagi, setiap tindakan yang diambil oleh majikan mesti didasari alasan munasabah dan adil, bukan untuk menindas pekerja.

“Kepada PMX, sila nasihatkan akhlak dan adab kepada pemimpin-pemimpin bawahan kamu bagaimanakah tata kelola dan etika pentadbiran yang betul.

“Kepada Ketua Menteri, sila berlaku adil dalam tadbir urus dan berpolitiklah secara matang,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Dewan Pemuda PAS Jasin semalam.

Media sebelum itu melaporkan bahawa Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat orang pegawai yang terlibat dalam kejadian itu menghadapi tindakan sama ada melibatkan pemecatan atau penukaran jawatan.

Menurut laporan itu, Rahmad dalam alasannya berkata kejadian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

- Advertisement -