
KUALA LUMPUR: “Jangan angkuh dengan kuasa,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad.
Beliau menyatakan demikian susulan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang perlu beradab dan berakhlak.
Menurutnya, Anwar tidak layak untuk meminta Tok Guru beradab dan berakhlak dan dan menyifatkannya sebagai orang yang ‘kacang lupakan kulit’.
“Kamu hanya berani sebut nama pimpinan PAS terdahulu bersama kamu kerana mereka telah lama pergi, kamu diam dan nafikan seorang tokoh ini.
“Negeri PAS yang kamu hina itu jadi pentas ceramah ahli PAS mendengar reformasi yang sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Zurk turut mendakwa bahawa kuasa yang dipegang Anwar sekarang ini tidak bermaruah dan telah bersubahat dengan orang yang yang dulunya beliau gelar sebagai penyamun.
“Kamu adalah pemimpin negara yang satu-satunya menyanyi, menari berjoget satu Malaysia berkempen Umno penyamun. Lagunya dijadikan modal menghina dan mencaci.
“Akhirnya negara ditipu dan Presiden PAS juga kamu tuduh ulama berserban sebagai pemfitnah,” katanya.
Selain itu, Zurk turut menyatakan bahawa Tok Guru yang didakwa Anwar tidak beradab itulah yang telah pusing satu negara mempertahankannya suatu ketika dahulu.
“Tidak ada orang lain menulis buku untuk menolong kamu melainkan tokoh ini. Mana lagi kamu boleh tumpang jadi hero kalau tidak disokong ulama ini dulu? Inikah adab dan akhlak tokoh reformasi?
“Jangan angkuh dan sombong. Kelak memakan diri!” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











