
KLUANG: “Saya nak mengajak, malam esok (Sabtu). Saya nak buat beberapa pendedahan-pendedahan besar. Khususnya berkenaan dengan bagaimana permainan Kerajaan Malaysia dalam isu akidah pluralisme dan liberalisme ini.”
Demikian dinyatakan Ahli Jawatakuasa Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’guBard dalam ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota malam tadi.
Menurut Che’guBard, beliau turut akan mendedahkan bagaimana agensi-agensi perisikan luar negara sedang memainkan peranan dalam negara ini yang turut melibatkan sebuah agensi perisikan sebuah kuasa besar sedang beroperasi di Malaysia.
“Malam esok saya jemput saudara, malam esok ada rapat umum ‘NGO Islam dan Melayu Berbai’ah, Ancaman Terhadap Islam dan Melayu’, (antara penceramah terlibat) Ustaz Dr Profesor Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Ismail Mina.
“Ada (penceramah) daripada PERKASA; ada daripada Muafakat; ada banyak NGO. Malam besok di Nombor 16 Jalan Dahlia Kampung Melayu, Kluang, dekat sini,” katanya.
Jelas Che’guBard, program tersebut bukan di bawah anjuran parti politik tetapi atas anjuran gabungan NGO-NGO Melayu-Islam yang turut melibatkan ‘NGO Melayu berbaiah’ dalam kawasan Kluang sendiri.
“Saya minta saudara ramai-ramai hadir malam esok (Sabtu). Kita akan buat beberapa pendedahan-pendedahan besar, kenapa dan mengapa. Ini bukan persoalan calon Barisan Nasional (BN).
“Kalau dia menang pun, Ketua Pemuda Umno pun boleh bagi ‘Frieskies’ (digula-gulakan) boleh diam, bagi makanan kucing pun boleh diam, inikan pula kalau setakat calon ini menang,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada ceramah tersebut yang berlangsung di Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor 2, di sini.
Ceramah menampilkan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penceramah utama.
Tambah beliau, kekuatan dimiliki oleh Bangsa Johor itu sangat diperlukan untuk memastikan kemenangan calon pilihan raya yang benar-benar mempertahankan Melayu-Islam kerana bangsa Johor ini adalah bangsa bermaruah.
“Kerana itu kali ini bangsa Johor kena tunjukkan pendirian. Bukan setakat cabutan bertuah, bukan setakat t-shirt, elaun sikit-sikit. Kalau dapat, ambil. Tak cukup, minta lagi.
“Tapi soalnya ialah kita mesti cipta sejarah kali ini. Di bumi Johor calon kita Coach Haizan boleh menang bergaya dalam pilihan raya kali ini. Saya minta, saya merayu bagi pihak rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah Che’guBard, walaupun pilihan raya itu sekadar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, namun hakikatnya seluruh negara sedang memerhatikan situasi yang sedang berlaku di Mahkota hari ini.
Beliau turut membangkitkan mengenai skim saraan terbaru yang diumumkan oleh kerajaan di mana dikatakan akan menaikkan gaji kakitangan awam, namun terdapat banyak perkara tidak kena dan boleh merugikan penjawat awam.
“Saudara ini adalah peluang terbaik. Saudara ada anak-anak kakitangan kerajaan, saudara ada saudara-mara kakitangan kerajaan, tolong pastikan pilihan raya ini hantar mesej itu.
“Isu keselamatan, isu ekonomi, isu penindasan, isu penghinaan terhadap Islam dan Melayu (akan didedahkan),” katanya dalam ceramah tersebut.
Turut berceramah pada malam tadi ialah Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris serta Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’.
Sementara BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka.
Tarikh 28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 21/9/2024











