
PERMATANG PAUH: Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak sewenang-wenangnya tunduk kepada agenda tersembunyi Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang jelas merugikan rakyat Malaysia.
Malah peranan sebagai suara rakyat tidak boleh disekat dengan perjanjian berat sebelah seperti yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) dikemukakan, demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Tegas beliau, MoU Peruntukan Parlimen kepada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang akan menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang menutup mulut dan menyetujui segala tindakan kerajaan yang menerajui Malaysia ketika ini.
“Syarat-syarat yang ditetapkan menimbulkan banyak salah faham. Ini yang dikatakan seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa, padahal kedudukan blok pembangkang adalah sebagai semak dan imbang kepada kerajaan,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini.
Kata Fawwaz, sungguhpun perjanjian seumpama ini juga diadakan ketika negara diterajui PN dan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, namun ia dirangka dengan perbincangan antara pihak kerajaan semasa dan ketua-ketua parti pembangkang ketika itu.
Namun bidasnya, berbeza dengan MoU yang ada kini hanya dibuat oleh sebelah pihak sahaja dan memberi kepentingan yang berat sebelah di mana mahu embangkang perlu akur apa sahaja keputusan kerajaan yang menerajui negara sekarang.
“Bukan itu saja malah isi perjanjian MoU itu juga akan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang telah terjamin bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau lagi.
Ahli-Ahli Parlimen pembangkang katanya, jika bersetuju akan menjadi ‘Pak Turut’ termasuk kepada agenda kesaksamaan semua kaum atas alasan hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, budaya dan kaum.
“Secara terang kita dapat lihat mereka (Kerajaan PH-BN) menunjukkan ketidakadilan terhadap semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.
“Sudahlah Ahli Parlimen pembangkang dinafikan hak peruntukan, kini ditekan pula dengan perjanjian ini yang mempunyai agenda disebaliknya,” tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.- HARAKAHDAILY 21/9/2024











