
KLUANG: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu bersetuju dengan gesaan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diadakan satu himpunan umat Melayu.
Presiden NGO UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, perkara itu akan dirangka dengan terperinci bersama dengan rakan-rakan NGO Melayu untuk dilaksanakan.
“Tadi dalam ucapan Tan Sri Muhyiddin menyatakan bahawa kita NGO-NGO perlu berperanan untuk mempertahankan maruah orang Melayu yang sekarang ini begitu dicabar ataupun begitu diancam oleh pemimpin asing di dalam kerajaan.
“Jadi insya-Allah cadangan daripada Tan Sri Muhyiddin diadakan suatu himpunan pemimpin-pemimpin dan umat Melayu kita akan sahut pada suatu masa yang kita akan umumkan nanti insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily usai Program Sesi Dialog NGO-NGI Bersama Abah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung di sebuah dewan, di sini, pagi tadi.
Selain itu, katanya, NGO-NGO Melayu yang hadir pada hari itu turut menyatakan sokongan kepada calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan).
Beliau turut mengulas tentang isu perjanjian persefahaman (MoU) penyaluran peruntukan pembangkang yang ditolak oleh Ahli-ahli Parlimen PN.
Menurut beliau, tindakan kerajaan mengenakan pelbagai syarat yang ketat sehingga menyekat kebebasan Ahli Parlimen adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Pada saya MoU itu adalah satu dokumen yang bercanggah dengan Perlembagaan dan juga kebebasan Ahli Parlimen.
“Tidak sepatutnya MoU itu digunakan untuk memerangkap Ahli Parlimen untuk tidak bersuara; tidak bercakap; tidak mempertaikan; tidak memperbincangkan apa-apa berkaitan dengan khususnya 3R,” katanya.
Beliau turut mendesak agar kerajaan yang dipimpin oleh PMX untuk menunaikan janji yang sebelum ini bahawa keadilan sepatutnya diberikan kepada semua Ahli Parlimen mereka wajar mendapat peruntukan.
“Juga peruntukan itu sebenarnya adalah kepada rakyat. Kalau dia tidak beri kepada Ahli Parlimen, itu bermakna dia tidak beri kepada rakyat yang berada di parlimen tersebut.
“Ini suatu perkara yang saya kira sangat bercanggah dengan undang-undang khususnya di dalam peruntukan-peruntukan yang sepatutnya rakyat dapat dalam negara kita,” katanya.
Program dialog bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu anjuran NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan UMMAH.
Ia diadakan bagi membincangkan isu-isu orang Melayu secara tertutup melibatkan wakil-wakil lebih daripada 10 NGO berkaitan Melayu.
Antara pimpinan NGO yang hadir ialah Presiden PERKASA, Syed Hasan Syed Ali dan Presiden Sekretariat KERABAT Kebangsaan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali dan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal dan Coach Haizan. – HARAKAHDAILY 20/9/2024











