Kasino: Kenyataan DAP langkah mundur bina negara Madani

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, mengecam kenyataan DAP yang menyokong pelaburan dalam industri kasino sekali gus menyifatkan ia sebagai langkah mundur dalam usaha membina negara Madani.

Beliau turut mengkritik kerajaan campuran Umno-DAP kerana berdiam diri terhadap isu tersebut, yang menurutnya bertentangan dengan aspirasi negara yang ingin mencapai kemodenan dan kemajuan.

“Walaupun pelaburan dalam kasino menjanjikan keuntungan yang besar, realitinya adalah bahawa faedah tersebut hanya dinikmati oleh segelintir individu yang menguasai industri perjudian.

- Advertisement -

“Ini menyebabkan ketidaksamarataan dalam masyarakat, di mana ramai rakyat Malaysia yang tidak mendapat manfaat daripada keuntungan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perjudian sering kali membawa kepada masalah kewangan yang serius, yang akhirnya merosakkan keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

“Lebih daripada itu, perjudian mempunyai kesan yang mendalam terhadap institusi keluarga. Ia sering kali membawa kepada masalah kewangan yang serius, yang seterusnya menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan keluarga.

“Kita harus bertanya kepada diri sendiri, adakah sesiapa dalam masyarakat tidak kira agama atau latar belakang yang benar-benar menyokong ahli keluarga mereka terlibat dalam aktiviti perjudian?

“Kebanyakan kita pasti merasai kesedihan apabila melihat keluarga terjebak dalam hutang dan tekanan hidup yang berterusan,” ujarnya.

Malah, kata beliau, perjudian bukan sahaja ditolak oleh Islam, tetapi juga oleh pelbagai agama lain.

“Dalam negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama, adalah wajar untuk kita bersepakat dalam usaha menutup pusat-pusat perjudian yang tidak selari dengan nilai-nilai yang kita junjung.

“Kita harus ingat ikrar Rukun Negara yang menekankan kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, serta keluhuran perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, PAS komited untuk menawarkan visi kemajuan dan kemodenan yang sejati, yang tidak hanya berfokus kepada keuntungan material tetapi juga kepada kesejahteraan dan moral masyarakat.

“Marilah kita sama-sama merenung dan berusaha ke arah penyelesaian yang lebih baik untuk masyarakat kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

- Advertisement -