Kisah perpindahan kiblat umat Islam

- Advertisement -

ADA dua perkara yang diceritakan dalam ayat 142 Surah al-Baqarah. Yang pertama, Allah menceritakan mengenai perpindahan kiblat. Dan yang kedua adalah mengenai kita umat Islam yang digelar sebagai ‘ummatan wasato’ iaitu Umat Pertengahan yang dipilih oleh Allah SWT.

‎سَیَقُولُ ٱلسُّفَهَاۤءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمۡ عَن قِبۡلَتِهِمُ ٱلَّتِی كَانُوا۟ عَلَیۡهَاۚ قُل لِّلَّهِ ٱلۡمَشۡرِقُ وَٱلۡمَغۡرِبُۚ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُ إِلَىٰ صِرَ ٰ⁠طࣲ مُّسۡتَقِیمࣲ
Maksudnya: Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

Cerita yang pertama ialah mengenai kiblat. Sebelum Nabi berhijrah ke Madinah, Nabi telah bertemu dengan beberapa orang dari Madinah pada musim haji. Nabi mencari orang Madinah yang melaksanakan ibadah haji dan berdakwah kepada mereka. Mereka akhirnya memeluk Islam. Nabi membuat perjanjian sumpah setia dengan mereka yang dipanggil sebagai Bai’atul Aqabah.

- Advertisement -

Bai’atul Aqabah dibuat di suatu tempat yang bernama Aqabah. Ada dua perjanjian dibuat. Bai’atul Aqabah Pertama dibuat supaya mereka beriman dengan Allah dan menerima Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasul.

Tahun terakhir sebelum Nabi berhijrah, Bai’atul Aqabah Kedua atau Bai’atul Rijal dibuat. Mereka bersumpah dengan Nabi, kalau Nabi berpindah ke Madinah, mereka perlu menjaga nyawa Nabi seperti nyawa sendiri dan nyawa anak isteri. Maknanya, rela berperang, mati sekali dengan Nabi dan tidak akan meninggalkannya.

Perintah solat disyariatkan pada tahun kesepuluh kenabian sebelum berlaku hijrah. Pada tahun tersebut, berlaku kematian isterinya, Sayyidatina Khadijah dan juga Abu Talib. Kedua-dua mereka merupakan tempat Nabi bergantung. Pada Khadijah, Nabi mencurahkan perasaan dan mengadu hal. Dia menyumbangkan semua hartanya. Sehingga di saat dia meninggal, daripada status korporat sehingga kepada tiada harta, semuanya dibelanjakan untuk Nabi dan Islam.

Pada tahun yang sama, berlaku kematian bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Beliau tidak memeluk Islam sehingga meninggal dalam keadaan tidak beriman. Walaupun Nabi memujuknya berkali-kali, dia tetap tidak mahu mengucap syahadah. Dia berada di depan untuk menjaga Nabi.

Orang Makkah tidak boleh mengapa-apakan Nabi. Mereka tidak tergamak untuk buat kasar atau membunuh Nabi sebab malu dengannya. Walaupun dia tidak kaya, tetapi dia dihormati oleh masyarakat disebabkan keturunannya. Dia merupakan anak kepada Abdul Mutalib yang merupakan seorang pemimpin Arab yang besar pengaruhnya.

Apabila kedua-duanya meninggal, Nabi hilang pergantungan. Hilang sumber kewangan dan tempat mengadu hal seperti Khadijah dan hilang orang yang boleh membelanya seperti Abu Talib. Tahun itu disebut sebagai ‘Aamul Huzni’ iaitu Tahun Kesedihan. Nabi termenung dan berfikir macam mana nak mengatur langkah.

Allah membawanya dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku dalam bulan Rejab. Nabi dibawa naik bertemu dengan-Nya di Sidratul Muntaha. Tujuannya adalah yang pertama, Allah nak memerintahkan solat. Dan yang kedua, Allah nak mengubati hati Nabi. Ibarat macam di saat kita bersedih dan tiada pitis, raja pun memanggil kita untuk menghadapnya di istana. Bukankah lain macam perasaannya, walaupun belum ketahui lagi apa yang raja nak berikan.

Apabila turunnya perintah solat, orang Islam di Madinah melaksanakannya. Cuma pada waktu itu, mereka solat menghadap ke Baitul Maqdis. Ada riwayat menyebut, orang Makkah pun walaupun berada di hadapan Kaabah, mereka tetap menghadap ke Baitul Maqdis juga.

Jadi, apabila Nabi berhijrah, Nabi dan semua menghadap ke Baitul Maqdis. Orang Yahudi di Madinah mengejek Nabi. Nabi menolak agama Yahudi dan Kristian tetapi Nabi solat menghadap ke kiblat mereka.

Perkara ini menjadi tular dan berterusan selama enam belas bulan. Disebabkan Nabi pun manusia, jadi baginda terasa hati. Baginda bangun beribadah pada tiap-tiap waktu malam sambil mendongak ke langit dan berharap agar Allah menukar kiblat tersebut. Perasaannya terganggu disebabkan hal tersebut.

Nabi solat di tempat Bani Salamah. Pada masa itu sudah ada masjid. Masjidnya lebih kurang sahaja. Tengoklah Masjid Nabawi seperti yang diceritakan dalam hadis. Nabi hanya pacak tiang daripada batang tamar dan meletakkan pelepah tamar sahaja.

Orang arab badwi pernah membuang air kecil di dalamnya. Hal itu menjadi kecoh sehinggakan ada sahabat yang nak memukulnya. Nabi melarangnya dan meminta supaya membiarkan sahaja kerana bimbang kalau dilarang akan bertambah buruk. Nabi meminta setimba air untuk membilas dan menyucikan tempat najis tersebut (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 6128). Rupa-rupanya masjid Nabawi pada ketika itu berlantaikan pasir.

Dalam riwayat lain menyebut, Nabi akan menyegerakan solat kecuali waktu Zuhur. Kalau cuaca panas terik, Nabi melewatkan solat Zuhur (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 539). Sebab masjid itu berbumbungkan pelepah tamar sahaja, jadi panas. Di Turnisia, waktu solat Jumaat di sana berbeza-beza di lain-lain tempat. Ada di awal, pertengahan dan akhir waktu.

Nabi pergi ke masjid tempat Bani Salamah sebelum masuk waktu Zuhur. Orang kampung menjemput Nabi makan kerana mereka ada membuat jamuan. Nabi pergi dan makan. Setelah selesai makan, kebetulan masuk waktu Zuhur. Nabi solat bersama-sama dengan orang kampung di masjid tersebut.

Ketika sedang solat, Jibril datang memberitahu kepada Nabi bahawa Allah telah menukar kiblat daripada Baitul Maqdis kepada Makkah. Jadi, Nabi berpusing dan diikuti oleh sahabat-sahabatnya tanpa soal apa-apa. Nak kata, sahabat sangat patuh (Rujuk Kitab Kashfu al-Mushkil Min Hadis as-Sahihain: 722).

Masjid tersebut dipanggil sebagai Masjid Qiblatain iaitu masjid dua kiblat. Dahulu, ada mihrab yang menandakan kiblat asal dibuat. Disebut di dalam kitab, arah kiblat yang menghala ke Baitul Maqdis berada di arah utara manakala Makkah berada di arah selatan. Tetapi sekarang mihrab ditutup kerana ramai yang tersalah, cuma tandanya masih ada.

Hasil daripada penukaran tersebut, kita sampai ke hari ini menghadap ke Kaabah. Kita solat perlu menghadap kiblat kerana ia adalah perintah Allah. Ada orang yang tidak faham, dia menjumpai ayat 115, Surah al-Baqarah:

‎فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ
Maksudnya “Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah.”

Baginya, solat menghadap ke mana-mana pun tidak mengapa. Tetapi, kita perlu baca lagi seterusnya, ayat 150 Surah al-Baqarah:

‎وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Maksudnya “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah).”

Oleh sebab itu, syarat sah solat ialah menghadap ke arah kiblat. Bukan melihat kiblat yang sebenar sebab kita tidak nampak. Tetapi arahnya ke mana, jadi ke situlah kita perlu menghadapnya.

Kecuali kalau kita tidak menjumpai arah kiblat, tiada kompas atau tanda, maka kita boleh menganggarnya. Kata ulama, tidak mengapa kalau kita tersesat dalam hutan atau di tengah padang pasir dan tidak mengetahui arah kiblat. Tetapi kalau jelas arah, kita tidak boleh menghadap ke arah lain. Sebab tidak sah solat kita.

Apabila Nabi mengubah kiblat, orang Yahudi kembali kecoh. Nak kata, inilah perangai manusia. Semua benda tidak kena. Asyik ikut kata orang, semua benda tidak selesai. Jadi ke mana sahaja kita pergi, kita haruslah menghadap ke arah kiblat. Kecuali kalau kita menaiki kenderaan contohnya kapal terbang atau kereta api, awal-awal kita menghadaplah ke arah Baitullah dan ke arah mana sahaja ia berpusing, biarkan.

Ini bagi pendapat yang membenarkan solat di dalam kenderaan kerana ada khilaf. Menurut Imam Syafie, beliau tidak membenarkan solat fardhu di dalam kenderaan. Nak solat dibolehkan sekadar menghormati waktu. Apabila sudah sampai di destinasi, solat tersebut perlu diqada semula. – HARAKAHDAILY 19/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -