
PADANG BESAR: Seramai 300 ahli keluarga besar Tuan Guru Husin Taha berhimpun buat julung kali menyatukan warisan sejarah yang mempunyai impak besar dalam perkembangan politik dan agama di negeri ini.
Perhimpunan ini mengumpulkan ahli keluarga daripada generasi kedua hingga kelima, mengeratkan hubungan silaturahim serta menyegarkan semula legasi perjuangan keluarga ini di FELDA Chuping, di sini Ahad lalu.
Tuan Guru Husin Taha, tokoh agama yang dihormati, berasal dari Kedah dan telah memainkan peranan penting dalam perkembangan PAS di Perlis melalui anaknya, Tuan Guru Ghazali Husin.
Ghazali, yang merupakan anak keenam Tuan Guru Husin, tidak hanya terkenal sebagai tokoh agama, tetapi juga seorang pengasas PAS di Perlis.
Beliau turut mendirikan madrasah di Kampung Permatang Bongor yang berperanan penting dalam pendidikan agama dan pembentukan masyarakat setempat.
Selain itu, Ghazali juga pernah bertanding sebagai calon PAS pada tahun 1964 dan berkhidmat sebagai Setiausaha PAS Perlis sehingga tahun 1974, meninggalkan jejak besar dalam sejarah politik negeri ini.

Legasi perjuangan Ghazali diteruskan oleh anaknya, Ustaz Othman Ghazali, yang menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Perlis dan Bendahari PAS Perlis pada tahun 1990-an.
Ustaz Othman terus aktif dalam menyampaikan pengajaran agama di surau dan masjid di sekitar Perlis sehingga dikenang sebagai tokoh agama terkemuka.
Acara perhimpunan ini dianjurkan hasil usaha gigih cucu-cicit Ghazali, termasuk Mohtar Ghazali, Asriah Othman dan Norhayati Hasyim.
Mohtar, yang merupakan Pengerusi Penganjur, menyatakan bahawa pertemuan ini tidak hanya sekadar himpunan keluarga, tetapi juga sebagai usaha meneruskan perjuangan politik dan agama yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
“Perhimpunan ini memperkukuhkan ikatan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga besar dan mengingatkan kita mengenai tanggungjawab meneruskan perjuangan warisan ini,” ujarnya.
Himpunan ini turut menyaksikan kehadiran anak, cucu dan cicit Ghazali yang kini terus memainkan peranan penting dalam perjuangan politik dan agama.
Abdul Ghafar Abdul Halim, Ahli Majlis Perbandaran Kangar (Kawasan Beseri), dan Khairul Yazman Yahya, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban, merupakan antara ahli keluarga yang aktif dalam meneruskan legasi ini.
Selain sumbangan dalam politik dan agama, keluarga ini turut melahirkan tokoh hebat seperti Dato’ Dr Md Mortadza Ramli, bekas Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Selain itu, Abdul Ghafar sendiri pernah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Jurutera Aircraft di Abudabi, United Arab Emirat pada 2008 hingga 2019.
Beliau sebelum itu menuntut di University Wales Coledge New Port, Cardiff United Kingdom.
Pertemuan penuh bermakna ini bukan sahaja mengimbau sejarah keluarga, malah menyegarkan tekad untuk meneruskan perjuangan demi agama dan negara, memelihara warisan yang telah diasaskan oleh Tuan Guru Husin Taha dan generasi penerusnya.
Selain Perlis, ahli keluarga kini bertebaran di Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan, menandakan pengaruh luas keluarga ini dalam pelbagai sektor kehidupan. – HARAKAHDAILY 18/9/2024












